Categories
SELANGOR

UNISEL catat sejarah anjur Persidangan Antarabangsa ‘Engaged Learning’ luar Eropah

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 3 JUN: Universiti Selangor (UNISEL) sekali lagi mencatat sejarah apabila bergelar penganjur pertama di Asia bagi Persidangan Antarabangsa ‘Engaged Learning’ dan Maklumat untuk Pembangunan Teknologi (CITD) Kurikulum Universiti.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali, berkata penganjuran itu adalah antara usaha Kerajaan Negeri merakyatkan ilmu dengan kemajuan teknologi semasa.

Katanya, langkah menggunakan teknologi maklumat dilihat adalah lebih cepat, mudah dan menjimatkan.

_MG_0759“Tetapi kita mahu memastikan usaha ini dapat dinikmati bukan sahaja mereka yang berada di bandar, tetapi juga rakyat di kawasan luar bandar serta kurang berkemampuan.

“Kita mahu semua golongan mampu mencapai sumber maklumat tepat dan terkini sesuai dengan peredaran zaman, yang mana sesiapa sahaja yang cepat dan tepat pasti menguasai keadaan,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menyempurnakan majlis perasmian persidangan berkenaan yang turut dihadiri Naib Canselor UNISEL, Prof Anuar Ahmad serta Pengerusi Asian Institute for Development Communication Malaysia (Aidcom), Datuk A Kadir Jasin.

_MG_0783Persidangan turut dianjurkan secara bersama dengan Aidcom dan sokongan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) melalui United Nations Asian and Pacific Training Center for ICT for Development (UN-APCICT) serta Universiti Cornell, Amerika Syarikat (AS).

Persidangan yang pertama kali dilaksanakan di luar Eropah itu disertai 120 peserta daripada 23 buah negara di seluruh dunia seperti AS, Kanada, Thailand, Kazakhstan dan Korea.

Persidangan itu pertama kali dianjurkan di Geneva, Switzerland pada 2003, diikuti Tunis, Tunisia (2005) dan kali terakhir di Madrid Sepanyol (2005).

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.