Categories
KENYATAAN MEDIA

15 NGO selar tindakan sekat kebebasan akademik

Oleh: AMIDI ABD MANAN

Isu pelanggaran kebebasan akademik telah lama menjadi barah dalam Negara. Menerusi pengenalan akta-akta oleh kerajaan telah mencengkam Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) selain menafikan autonomi dan kebebasan akademik yang meliputi pensyarah, mahasiswa serta pentadbir dan kakitangan Universiti sendiri. Kebebasan akademik yang berpaksikan kebenaran adalah tonggak kepada keutuhan negara. Kami menyelar perkiraan singkat pihak tertentu dengan menyekat suara para ahli akademik didengari oleh rakyat terbanyak.

Jika perkara ini berterusan kepercayaan masyarakat terhadap universiti kita akan musnah. Masalah disiplin pelajar, kecelaruan pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah, merudumnya kedudukan universiti kita di Asia, corotnya ranking negara kita dalam ujian PISA seolah-olah tidak memberi pengajaran kepada Kementerian Pendidikan Malaysia dengan terus melakukan jenayah yang lebih besar terhadap dunia pendidikan negara. Terkini, insiden perletakan jawatan Profesor Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman sebagai Pengarah UMCEDEL dengan berlatar belakangkan campur tangan politik adalah tragedi kepada dunia akademia negara.

Kami menyatakan kekesalan yang amat mendalam terhadap kejadian ini. Insiden ini (pemaksaan perletakan jawatan Pengarah UMCEDEL) menunjukkan Kementerian Pendidikan gagal mempertahankan prinsip yang paling asas dan terpenting iaitu kelestarian ilmu dan kebenaran. Kegagalan ini bertambah parah apabila berlaku di universiti terunggul Negara.

Oleh yang demikian kami dengan ini mengutuk sekeras-kerasnya sebarang campurtangan politik dan sebarang percubaan menyekat kebebasan akademik yang berteraskan kebenaran. Maka dengan ini pada bulan ditanzil kitab al-Quran yang berfungsi sebagai al-Furqan (pembeza kebenaran dan kebathilan) melancarkan kempen kesedaran kebebasan akademik untuk Malaysia. Kami juga menegaskan satu kempen untuk mempertahankan kebebasan akademik di Malaysia telah digerakkan bersama menerusi laman sosial (Fb Page Solidarity 4 Prof Redzuan) ‪dan #academicfreedom4malaysia serta gerakan di peringkat massa demi kesedaran rakyat.

# Amidi Abd Manan adalah Presiden ABIM dan kenyataan ini turut mewakili:-

1) Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
2) Gerakan Intelektual Rakyat (GATERA)
3) Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM)
4) Paksi Seniman Rakyat (PAKSI)
5) Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI)
6) Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
7) Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)
8) Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM)
9) Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM)
10) Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM)
11) Gerakan Mahasiswa Mansuhkan Auku (GMMA/174)
12) Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP)
13) Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)
14) Akademi Pendidikan Demokrasi & Kewarganegaraan
15) Dewan Perdagangan Islam Malaysia (Cawangan Selangor)

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.