Categories
SELANGOR

ABIM: Pendekatan Azmin selesai isu Bible umpama ‘good gorvenance’ Rasulullah SAW

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 15 NOV: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menyokong penuh keputusan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang secara secara rasmi memulangkan semula bible versi bahasa Melayu kepada Persatuan Bible Malaysia (PBM).

Presidennya, Amidi Abdul Manan berkata, pandangan dan inisiatif terbaik DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyelesaikan isu itu amat bijak serta nasihat dan halangan bagi memastikan kitab Bible itu tidak disebarkan di Selangor satu keputusan yang tepat.

“ABIM berharap semua pihak menghormati keputusan itu kerana kita percaya peranan istana cukup penting dalam melindungi kesucian Islam dan bangsa melayu termasuk menjamin keadilan sewajarnya kepada agama dan bangsa lain di Selangor.

IMG-20141114-WA0029“Istana dari dahulu lagi sudah membuktikan peranannya mendahulukan kesejahteraan rakyat berbandingsuara pelampau agama yang penuh dengan api kebencian,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini, hari ini.

Pada Januari lalu, JAIS mengambil lebih 300 kitab Injil berbahasa Melayu dan Iban dari pejabat Pertubuhan Bible Malaysia (PBM) di Damansara.

Tindakan itu dibuat mengikut Enakmen Agama Bukan Islam 1988 (Kawalan Pengembangan di Kalangan Orang Islam) dengan menghalang orang bukan Islam di Selangor menggunakan perkataan kalimah Allah.

Bagaimanapun, semua Bible itu dipulangkan semula kepada Pesatuan Gereja-gereja Sarawak (ACS) ketika kunjungan hormat Pengerusi ACS, Most Reved Archbishop, Datuk Bolly Lapok.

Majlis yang berlangsung di Istana Alam Shah, Klang itu disaksikan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sarafuddin Idris Shah dan Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali.

Mohamed Azmin dalam reaksinya semalam berkata, Kerajaan Negeri akan memberi jaminan corak pentadbiran berteraskan ajaran Islam kerana ia adalah agama rahmat untuk semua, selain menjadi teladan dalam menyokong kesederhanaan dan keadilan.

Katanya, walaupun kebebasan beragama termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, sentimen pelampau (extremism), provokasi kaum dan fanatik agama tidak akan menjadi sebahagian daripada pentadbiran Selangor.

“Pentadbiran ini akan mengusahakan pelbagai cara untuk menambaik dan memupuk persefahaman kaum dan agama di Selangor. Sebagai salah satu perkara utama dalam usul ini, saya berikrar untuk memulangkan Bible itu kepada pihak Kristian kerana ia milik mereka.

“Kini, terima kasih kerana kebijaksanaan dan pandangan jauh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, ia menjadi realiti,” katanya.

amidiMengulas lanjut, Amidi memuji pendekatan Mohamed Azmin meletakkan Islam sebagai agama rahmat dan menyifatkan ia senafas dengan pendekatan ‘good gorvenance’ yang digunakan Rasulullah SAW di Madinah yang ternyata lebih menyatukan semua agama dan kaum.

Pihaknya juga percaya isu antara kaum dan agama dapat diselesaikan dengan baik tanpa campur tangan kelompok pelampau.

“Kelompok pelampau dari Islam dan Kristian) melihat isu ini dari kaca mata sentimen dan ia harus ditentang. Sebaliknya, isu seperti ini sewajarnya dilihat dari kaca mata perpaduan antara kaum dan agama seperti pendekatan Kerajaan Selangor.

“Dalam isu ini, istana juga menolak suara kelompok pelampau yang ternyata banyak mendatangkan keburukan berbanding kebaikan,” katanya.

-NFN-

Categories
KENYATAAN MEDIA

15 NGO selar tindakan sekat kebebasan akademik

Oleh: AMIDI ABD MANAN

Isu pelanggaran kebebasan akademik telah lama menjadi barah dalam Negara. Menerusi pengenalan akta-akta oleh kerajaan telah mencengkam Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) selain menafikan autonomi dan kebebasan akademik yang meliputi pensyarah, mahasiswa serta pentadbir dan kakitangan Universiti sendiri. Kebebasan akademik yang berpaksikan kebenaran adalah tonggak kepada keutuhan negara. Kami menyelar perkiraan singkat pihak tertentu dengan menyekat suara para ahli akademik didengari oleh rakyat terbanyak.

Jika perkara ini berterusan kepercayaan masyarakat terhadap universiti kita akan musnah. Masalah disiplin pelajar, kecelaruan pelaksanaan Pentaksiran Berasaskan Sekolah, merudumnya kedudukan universiti kita di Asia, corotnya ranking negara kita dalam ujian PISA seolah-olah tidak memberi pengajaran kepada Kementerian Pendidikan Malaysia dengan terus melakukan jenayah yang lebih besar terhadap dunia pendidikan negara. Terkini, insiden perletakan jawatan Profesor Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman sebagai Pengarah UMCEDEL dengan berlatar belakangkan campur tangan politik adalah tragedi kepada dunia akademia negara.

Kami menyatakan kekesalan yang amat mendalam terhadap kejadian ini. Insiden ini (pemaksaan perletakan jawatan Pengarah UMCEDEL) menunjukkan Kementerian Pendidikan gagal mempertahankan prinsip yang paling asas dan terpenting iaitu kelestarian ilmu dan kebenaran. Kegagalan ini bertambah parah apabila berlaku di universiti terunggul Negara.

Oleh yang demikian kami dengan ini mengutuk sekeras-kerasnya sebarang campurtangan politik dan sebarang percubaan menyekat kebebasan akademik yang berteraskan kebenaran. Maka dengan ini pada bulan ditanzil kitab al-Quran yang berfungsi sebagai al-Furqan (pembeza kebenaran dan kebathilan) melancarkan kempen kesedaran kebebasan akademik untuk Malaysia. Kami juga menegaskan satu kempen untuk mempertahankan kebebasan akademik di Malaysia telah digerakkan bersama menerusi laman sosial (Fb Page Solidarity 4 Prof Redzuan) ‪dan #academicfreedom4malaysia serta gerakan di peringkat massa demi kesedaran rakyat.

# Amidi Abd Manan adalah Presiden ABIM dan kenyataan ini turut mewakili:-

1) Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)
2) Gerakan Intelektual Rakyat (GATERA)
3) Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM)
4) Paksi Seniman Rakyat (PAKSI)
5) Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI)
6) Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
7) Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)
8) Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM)
9) Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya (PMIUM)
10) Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM)
11) Gerakan Mahasiswa Mansuhkan Auku (GMMA/174)
12) Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP)
13) Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH)
14) Akademi Pendidikan Demokrasi & Kewarganegaraan
15) Dewan Perdagangan Islam Malaysia (Cawangan Selangor)

 

Categories
NASIONAL

ABIM: Tidak serius laksana Maqasid Syariah punca jenayah meningkat

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 30 MEI: Sikap tidak serius kerajaan melaksanakan konsep Maqasid Syariah adalah antara faktor yang mendorong kepada peningkatan jenayah di negara ini.

Ini dibuktikan dengan beberapa kes jenayah yang menimbulkan kebimbangan masyarakat dan terbaru apabila laporan seorang pelajar tingkatan dua yang didakwa dirogol 38 lelaki, pada 27 Mei lalu.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Amidi Abd Manan, berkata Maqasid Syariah adalah kualiti kehidupan yang perlu dijaga dan dicapai.

amidi“Namun, jika tiada kesungguhan daripada pihak kerajaan maka hasrat umat Islam untuk mencapai kualiti kehidupan yang selari dengan konsep berkenaan tidak akan tercapai.

“Melihat daripada keadaan ini, saya rasa kerajaan tidak serius daripada sudut untuk mencapai Maqasid Syariah. Kenyataan Perdana Menteri apabila beliau mengatakan bahawa Perundangan Syariah itu tidak boleh dilaksanakan kerana masalah Maqasid, maka ia (Maqasid) tidak diusahakan dengan serius dalam hal ini.

“Maqasid Syariah adalah kualiti kehidupan yang perlu dijaga dan dicapai. Kita tidak nampak kesungguhan itu untuk dilaksanakan.

“Bukan sahaja aspek seperti jenayah rogol yang jelas terkanun dalam Maqasid Syariah dan terletak dalam penjagaan maruah tetapi dalam hal rogol penjagaan nasab (keturunan) dan juga penjagaan nyawa itu sendiri. Maka, kita kira hasrat umat Islam untuk melihat perundangan syariah dilaksanakan sebenarnya masih lagi jauh kerana tiada kesungguhan dalam hal ini,” katanya kepada Selangor Kini.

blogger-image-162863562Katanya, kadar jenayah berpotensi untuk meningkat dalam masa terdekat ditambah dengan kurangnya tindakan membanteras gejala pornografi dalam kalangan masyarakat jika keadaan itu berterusan.

“Kalau lihat masalah rogol antaranya disebabkan pornografi dalam masyarakat dan kita belum mendengar tindakan bersungguh yang diambil kerajaan, bahkan kemungkinan masalah ini akan meningkat.

“Kita agak kecewa kerana seharusnya dengan teknologi terkini,pihak keselamatan boleh bertindak dengan cepat dan berkesan. Kita lihat seakan tidak tiambil tindakan dengan begitu baik,” katanya.

-NFN-

Categories
SELANGOR

MB : Tolak Agenda Pembodohan Rakyat

MB Pencerdasan Rakyat 01

SHAH ALAM, 10 MAC : Rakyat negara ini perlu dibangunkan sehingga mampu memiliki kecerdasan akal yang tinggi dan mempunyai daya fikir yang tajam.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, kualiti ini penting untuk menghasilkan masyarakat yang mampu menyumbang idea dan formula bagi menyelesaikan pelbagai masalah kronik yang dihadapi oleh masyarakat dan negara.

“Kita menolak pembodohan rakyat dengan mengangkat pembijakan atau pencerdasan rakyat,” kata Abdul Khalid.

Ujarnya, sesetengah elit pemerintah tidak begitu senang dengan meningkatnya kesedaran dan kercerdasan masyarakat yang dilihatnya suatu ancaman kepada kekuasaan mereka.

“Lantas berjalanlah projek pembodohan ini di tengah-tengah umat bermula dengan ‘pasungan’ pemikiran di sekolah dan universiti serta berterusan sehingga ke pejabat dan ruang awam.

“Dengan ‘kebodohan’ ini maka saat-saat keruntuhan satu-satu tamadun sudah menjadi suatu yang tidak boleh dielakkan,” kata Abdul Khalid.

MB Pencerdasan Rakyat 02Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian Konvensyen Pencerdasan Rakyat dan Pelancaran Akademi Pendidikan Kewarganegaraan dan Demokrasi yang diadakan di Dewan Kompleks Belia Dan Kebudayaan Seksyen 7 di sini.

Abdul Khalid berkata, usaha mewujudkan Akademi Pendidikan Dan Demokrasi itu perlu dipuji kerana ia bertujuan untuk membangun masyarakat dari segi kesedaran dan pemikiran masih belum dibuat secara bersungguh-sungguh dan holistik.

“Banyak pihak telah menubuhkan ‘think tank’ yang bermotifkan politik di mana ia hanya untuk memenuhi kepentingan politik sempit dan hanya untuk mempertahan kuasa mereka.

“Maka kehadiran akademi ini amatlah penting terutama ketika kita menghadapi cabaran yang semakin meningkat dari dalam dan luar.

“Ia juga diharap dapat membantu meluruskan kembali penyimpangan ketara yang terjadi dalam amalan demokrasi kita,” kata Abdul Khalid.

Akedemi itu diwujudkan dengan matlamat menggerakkan agenda pendidikan kewarganegaraan dan pemasyarakatan nilai demokrasi yang berteraskan ajaran Islam bersumberkan tamadun Melayu dan budaya pelbagai kaum di negara ini.

Ia berfungsi sebagai pusat penyelidikan, pendidikan dan latihan dalam bidang untuk memberi kefahaman erti demokrasi, mekanisme pilihan raya dan membincangkan isu politik, siasah shariyyah dan kewarganegaraan.

Turut hadir dalam majlis itu, Presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH), Datuk Dr Siddiq Fadhil dan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Amidi Abd Manan.

Kira-kira 2,000 orang hadir dalam program itu yang bertemakan ‘Memimpin Kesedaran Rakyat Memartabat Karomah Insaniah’.