Categories
NASIONAL

Heret dalang nahas MH17 ke muka pengadilan, beri hukuman setimpal

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 18 JULAI: Ketua Pemuda DAP Pusat, Teo Kok Seong menggesa kerajaan untuk segera menggunakan saluran dan hubungan diplomatik dengan pihak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan EU bagi memulakan siasatan menyeluruh berkenaan insiden pesawat Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 yang terhempas di Timur Ukraine, di sini, semalam.

Beliau berkata, jikainsiden itu berpunca daripada tembakan misil oleh sebarang pihak, kerajaan Malaysia perlu mengheret mereka terbabit ke muka pengadilan dengan hukuman yang setimpal.

“Kami akan bersama dengan kerajaan dan menggesa untuk segera menggunakan saluran dan hubungan diplomatik kepada PBB dan EU untuk memulakan siasatan menyeluruh berkenaan kes ini.

MH17 a“Jika benar kemalangan ini berpunca akibat tembakan misil oleh pihak tertentu, kita mahu mereka diheret ke muka pengadilan dan dihukum dengan hukuman yang setimpal,” katanya dalam kenyataan.

Kok Seong berkata, tragedi itu bukan sahaja mengejutkan rakyat Malaysia yang baru sahaja berhadapan dengan tragedi MH370, tetapi masyarakat antarabangsa apabila tragedi itu dikaitkan dengan tindakan keganasan pihak di kawasan bergolak antara Ukraine dan pemberontak yang disokong Russia.

“DAP ingin melahirkan rasa terkejut dan simpati atas kejadian ini kepada seluruh keluarga mangsa pesawat malang MH17 yang terhempas di Timur Ukraine, lewat malam tadi.

DAP logo 01“Ratusan nyawa hilang dengan cara yang amat tragis sekali dan kami dapat memahami kesedihan kaum keluarga khususnya rakyat Malaysia yang sedang bersiap untuk menyambut syawal 10 hari lagi,” katanya.

Beliau turut berharap pihak berkuasa dan juga MAS dapat menyalurkan maklumat yang jelas dan tepat serta dapat mengurus jasad mangsa untuk dikembalikan ke negara asal masing-masing dengan proses teratur.

“Kami mendoakan yang terbaik kepada semua, sama ada kepada petugas dan juga keluarga mangsa supaya dapat tabah menghadapi situasi getir ini,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.