Categories
NASIONAL

Kenyataan Tengku Adnan tanda kegagalan kerajaan BN tangani isu kemiskinan

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 3 JUL: Kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor untuk menghukum golongan peminta dan pemberi sedekah disifatkan sebagai tanda kegagalan kerajaan dalam menangani isu kemiskinan.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Nurul Islam Mohammed Yusoff, berkata pengumuman itu juga bercanggah dengan seruan Islam untuk bersedekah.

Katanya, kerajaan harus sedar hukuman seperti itu sahaja tidak cukup untuk membersihkan Kuala Lumpur daripada pengemis.

photo 2-756717Beliau berkata, kenyataan itu yang dikeluarkan ketika umat Islam baru menyambut kedatangan Ramadan juga menunjukkan Tengku Adnan gagal memahami isu terbabit.

“Kenyataan itu memperlihatkan kegagalan menteri mengenalpasti punca sebenar gejala itu, apatah lagi bagi menyelesaikan masalah terbabit.

“Fenomena mengemis di ibu kota sebenarnya manifestasi daripada kegagalan kementerian untuk membasmi kemiskinan bandar dan menangani sindiket peminta sedekah,” katanya dalam kenyataan media, di sini.

Islam berkata, tindakan itu juga jika dilakukan tidak akan dapat membasmi masalah berkenaan secara keseluruhan.

“Kerajaan Pusat perlu mencari jalan untuk membersihkan masalah itu dalam memulihkan imej Kuala Lumpur sebagai bandaraya,” katanya.

Beliau mencadangkan pusat gelandangan diwujudkan di ibu kota bagi menempatkan pengemis dan mengelakkan mereka berkeliaran, sekali gus menjaga kebajikan.

pengemisKatanya, pengemis juga boleh diberikan latihan kemahiran bagi membebaskan diri daripada belenggu kemiskinan hidup.

“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dan Majlis Agama Islam perlu bekerjasama menjejak golongan ini untuk dibantu,” katanya.

Kenyataan itu bagi menjawab kenyataan Tengku Adnan semalam yang mengumumkan, tindakan seperti itu bagi mengurangkan budaya meminta sedekah yang mencemar imej ibu negara.

BERNAMA melaporkan, Tengku Adnan berkata, tindakan saman ke atas pemberi sedekah dan menahan pengemis dibuat kerana golongan peminta sedekah itu terdiri daripada orang asing.

Katanya, tindakan badan bukan kerajaan (NGO) yang memberi makanan percuma kepada warga gelandangan di pelbagai lokasi juga mengundang kekotoran.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.