Categories
SELANGOR

Kerajaan Selangor tidak pernah lulus pusat judi lumba kuda

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 4 JULAI : Kerajaan Selangor menolak dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa negeri itu meluluskan cadangan pembinaan sebuah pusat judi lumba kuda yang terbesar di Asia, di Bukit Tagar, Hulu Selangor.

Exco Hal Ehwal Islam, Permodenan Pertanian dan Pembangunan Desa, Sallehen Mukhyi berkata syarikat pemaju terbabit pernah memohon kebenaran membina pusat judi lumba kuda itu namun Kerajaan Negeri menolak permohonan itu.

lumba kuda“Memang ada permohonan dari pihak pemaju, tetapi Kerajaan Negeri sudah menolak permohonan cadangan pembinaan itu,” katanya kepada Selangor Kini menerusi Sistem Pesanan Ringkas (SMS), di sini.

Beliau berkata Kerajaan Negeri berpendirian tidak akan membenarkan sebarang pembinaan seperti yang didakwa.

Semalam, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis bagi membantah cadangan pembinaan itu.

Mereka menggesa kerajaan negeri Selangor, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) mengambil tindakan tegas terhadap pemaju berkenaan.

Sebelum ini, Yang Dipertua PAS Hulu Selangor, Muhammad Idris Ahmad berkata, pihaknya menyangkal dakwaan pemaju yang mendakwa pembinaan pusat terbabit diterima oleh masyarakat Melayu kawasan itu.

Malah, pada awal tahun 2011, Merdeka Centre mengadakan satu kaji selidik berhubung pembinaan pusat lumba kuda terbabit dan hasilnya majoriti masyarakat Melayu di kawasan itu menolak pembinaannya.

Difahamkan pembinaan itu adalah bertujuan untuk memindahkan pusat lumba kuda yang terletak di Sungai Besi pada tahun 2004 lagi, namun ia tertangguh apabila Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) lalu.

Sejak 2008, Kerajaan Negeri Pakatan tidak lagi mengeluarkan lesen bagi premis rumah urut dan hiburan dan dasar terbabit diteruskan sehingga kini.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.