Categories
KENYATAAN MEDIA

Kewibawaan kepimpinan dan kepolitikan bukan terletak pada jantinanya

Oleh: Rodziah Ismail

Telah berlaku dan dijelaskan dalam al-Quran bahawa Ratu Balqis adalah seorang pemimpin wanita yang hebat.

Kisah beliau ditonjolkan secara khusus dalam al-Quran, sebanyak 24 ayat, dan negara yang diperintah beliau dijadikan tajuk sebuah surah dalam al-Quran.

Beliau berjaya mentadbir negara Saba’ dan mengurus kepentingan serta kesejahteraan rakyat Saba’ dengan cemerlang.

Balqis adalah seorang yang mengamalkan pemerintahan bermusyawarah dengan para pembesar negaranya sebelum membuat keputusan-keputusan yang utama atau genting.

Beliau bukan seorang diktator (an-Naml:32-33)

Sifat penyayang beliau terhadap rakyat terserlah apabila risiko peperangan dengan tentera Nabi Sulaiman a.s. kelihatan hampir.

Kebijaksanaan beliau menilai kemampuan diri dan sama sekali tidak rela mengorbankan nyawa rakyatnya terungkap dalam al-Quran, “Dia (Balqis) berkata,’Sesungguhnya raja-raja apabila menaklukkan suatu negeri, mereka tentu membinasakannya, dan menjadikan penduduknya yang mulia jadi hina; … Dan sungguh, aku akan mengirim utusan kepada mereka dengan (membawa) hadiah, dan (aku) akan menunggu apa yang akan dibawa kembali oleh utusan itu.”

Ketokohan, kewibaan dan kepintaran beliau sebagai seorang pemimpin tiada tolok bandingnya.
Beliau tidak sukar untuk beriman apabila telah terbukti kebesaran Allah swt sebagai tuhan Pencipta segalanya.

Tiada keegoaan dan penafian, hanya tunduk dengan segala kerelaan dan keikhlasan mengabdikan diri kepada Ilahi (an-Naml:44).

Di dunia ketika ini ada duapuluh satu ketua negara wanita (Presiden, Perdana Menteri) yang dipilih oleh rakyat masing-masing atau dilantik oleh parti.

Telah terbukti kepimpinan yang diperakui kewibawaan mereka, seperti pemimpin wanita terdahulu: Sultanah Acheh, Margaret Thatcher, Evita, Julia Gilard, Indra Ghandi, Megawati dan lain-lainnya.

Jerman, sebuah negara maju dan tersohor pentadbirannya adalah diterajui oleh seorang wanita, Chancellor Angela Merkel.

Jerman adalah satu-satunya negara yang mengamalkan social market economy yang meletakkan sebahagian besar belanjawan negaranya untuk mengutamakan pembangunan dan kehidupan sosial rakyatnya.

Ia seiring dengan teori ekonomi Islam yang menekankan keseiringan hubungan antara manusia dengan Tuhan, Alam Sekitar dan Manusia.

Kenyataan seorang peguam yang menjadikan sebab kedatangan haid wanita sebagai penghalang wanita menjadi pemimpin tertinggi di sebuah negeri amatlah meleset dan seksis, menjadikan ia bahan persendaan seluruh dunia dan membentuk imej negatif terhadap negara Malaysia.

Sememangnya tiada halangan bagi pemimpin wanita di peringkat manapun untuk melaksanakan tanggungjawabnya dengan adil dan saksama, jika itu menjadi hasratnya, dalam keadaan biologinya yang bagaimanapun.

Pemimpin, khususnya ahli politik wanita yang berdaya di Malaysia mampu memimpin dan membawa negeri, negara dan rakyat ke ufuk yang lebih tinggi dan cemerlang.

Mereka boleh diletakkan di mana-mana posisi hatta di peringkat paling tinggi sekalipun dan boleh berjaya melaksanakan amanah dengan terbaik, bahkan lebih baik dari setengah lelaki.

Wanita Berdaya, Pemimpin Berwibawa.

* Rodziah Ismail adalah Exco Hal Ehwal Wanita Selangor

Leave a Reply

Your email address will not be published.