Categories
AGENDA JENAYAH

Wanita tipu jadi mangsa banjir, terima bantuan NGO ditahan polis

KUANTAN, 4 JAN: Seorang wanita tergamak menipu mengatakan dirinya adalah mangsa banjir bagi mendapatkan bantuan yang disalurkan badan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan di Mentakab, Temerloh baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Supt Mohd Wazir Mohd Yusof berkata suspek berumur 33 tahun itu didakwa membuat permohonan bantuan banjir yang disampaikan sebuah NGO di pusat pemindahan sementara (PPS) di Temerloh pada 29 Dis lepas.

“Suspek mendakwa dirinya berstatus ibu tunggal kepada tiga anak dan tidak menerima sebarang bantuan, menyebabkan NGO tersebut memberi sumbangan kewangan, bekalan makanan, toto, selimut, bantal dan peralatan elektrik seperti kipas angin, mesin pengisar dan periuk nasi bernilai RM700.

“Bagaimanapun, NGO itu menerima rungutan orang ramai mendakwa wanita itu bukan mangsa banjir kerana alamat rumah yang digunakan dalam permohonan itu tidak didiami suspek,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Wazir berkata seorang ahli NGO Itu membuat semakan sendiri dan mendapati wanita itu turut membuat permohonan bantuan kepada NGO serta sukarelawan lain, menyebabkan pengadu membuat laporan polis.

Siasatan awal polis juga mendapati alamat yang digunakan oleh suspek serta rumah yang didakwa ditumpanginya tidak berpenghuni selain semakan dengan ketua kampung di situ mengesahkan wanita itu bukan mangsa banjir.

Sehubungan itu, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Lantikan berdasar prestasi, 41 peratus penjawat awam negeri wanita

SHAH ALAM, 3 DIS: Sebanyak 41 peratus penjawat awam di Selangor setakat 9 November lalu adalah wanita, kata EXCO pembangunan wanita dan keluarga.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata daripada jumlah itu, 28 peratus adalah pegawai gred 52 dan ke atas yang terlibat sebagai pembuat keputusan.

“Kerajaan Negeri pada masa ini tidak memperuntukkan sebarang kuota jantina di bawah mana-mana jabatan, agensi atau portfolio untuk mengisi jawatan.

“Bagi semua kategori lantikan, pengambilan kakitangan adalah berdasarkan keperluan jabatan dan juga kompetensi mereka,” katanya hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan wakil rakyat Bandar Utama Jamaliah Jamaluddin sama ada terdapat kuota jantina di jabatan, agensi atau portfolio di bawah Kerajaan Negeri dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS).

Sementara itu, ditanya mengenai langkah meningkatkan prestasi kepimpinan wanita, Siti Mariah berkata pentadbiran sentiasa menilai kebolehupayaan, prestasi dan kompetensi individu bagi menjawat jawatan berkepentingan.

“Jika seseorang itu berprestasi tinggi maka pentadbiran ini akan melantik tanpa sebarang diskriminasi kepada jantina bagi menjawat jawatan ketua jabatan.

“Ini turut merangkumi pentadbiran awam negeri, pihak berkuasa tempatan dan badan berkanun negeri. Berdasarkan data perjawatan semasa terdapat dua pegawai daerah wanita dan seorang yang dipertua wanita,” katanya.

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL

Wanita perlu rebut tawaran biasiswa sambung belajar, tingkat taraf pendidikan

SHAH ALAM, 29 NOV: Biasiswa khas untuk wanita melalui program pembelajaran sepanjang hayat akan menyuntik semangat golongan itu menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Adibah Ishak

Peguam, Adibah Ishak, 46, berkata inisiatif terkandung dalam Belanjawan Selangor 2022 sesuai untuk wanita berumah tangga yang tiada sokongan kewangan menuntut ilmu di institusi pengajian tinggi (IPT).

“Bagi wanita yang sudah berumah tangga, mungkin kewangan mereka agak tersekat kerana komitmen terhadap keluarga. Jadi, saya percaya inisiatif ini membantu menaikkan semangat mereka untuk belajar.

“Hanya dengan pelajaran mereka dapat memajukan diri. Berkahwin bukan bermaksud tidak perlu sambung belajar kerana menuntut ilmu tiada batasan,” katanya yang juga pemegang ijazah sarjana muda undang-undang dari Universiti Islam Antarabangsa Islam Malaysia.

Penuntut tahun tiga ijazah sarjana muda farmasi dari Universiti Mahsa, Nur Syazwanna Mohammed Sariman, 23, pula menyifatkan tawaran itu perlu dimanfaatkan kaum hawa kerana sukar diperoleh di negeri lain.

Nur Syazwanna Mohammed Sariman

Menurutnya, walaupun banyak pinjaman ditawarkan kerajaan untuk menyambung pengajian tetapi bukan mudah untuk dapat, apatah lagi biasiswa seumpama itu.

“Inisiatif ini tepat pada masanya kerana ramai wanita tiada peluang untuk sambung belajar disebabkan faktor kewangan. Dengan adanya pendidikan yang baik, saya percaya kehidupan mereka lebih terjamin,” katanya.

Sementara itu, penuntut tahun pertama ijazah sarjana muda pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Nur Shuhada Zainal, 35, berkata bantuan biasiswa mampu meringankan kos sara hidup memandangkan yuran pengajian di IPT mahal.

Nur Shuhada Zaina

“Peluang ini perlu diambil oleh wanita, setidak-tidaknya dapat tampung kos yuran kerana mereka tidak buat pinjaman daripada mana-mana bank, katanya yang mengikuti pengajian secara separuh masa.

Jumaat lalu, Dato’ Menteri Besar mengumumkan Program Pembelajaran Sepanjang Hayat akan diperkenal di bawah Wanita Berdaya Selangor dengan peruntukan sebanyak RM200,000 setahun.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata program itu menyediakan biasiswa kepada wanita yang terpilih untuk menyambung pelajaran di peringkat diploma, sarjana muda dan sarjana dalam pelbagai bidang.

Biasiswa tersebut dilaksana dengan kerjasama Open University Malaysia (OUM) khusus untuk wanita Selangor yang berada di pelbagai peringkat kepimpinan serta lapangan.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Empat beranak ugut, serang wanita direman empat hari

SHAH ALAM, 28 NOV: Polis menahan empat sekeluarga selepas disyaki mengugut serta melakukan perbuatan khianat terhadap seorang suri rumah dalam kejadian sekitar Jalan Besar Kampung Tumbuk Darat,Tanjung Sepat, Kuala Langat pada 24 Nov lepas.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Saleh dalam kenyataan memaklumkan kesemua suspek yang ditahan di rumah di Jalan Besar, Kampung Tumbuk Darat sekitar 9 malam itu berusia 21 hingga 49 tahun terdiri daripada pasangan bapa ibu dan dua anak perempuan.

“Tangkapan tersebut dilaksanakan susulan laporan yang dibuat oleh mangsa berusia 41 tahun itu yang mendakwa keretanya telah ditahan enam individu termasuk tiga wanita ketika melalui Jalan Parit A, Kampung Tumbok Darat sekitar jam 12 tengah hari Rabu lalu.

Mangsa mendakwa ditahan di mana salah seorang daripada mereka telah menggunakan sebatang kayu memukul keretanya dan bertindak untuk memecahkan cermin keretanya,” katanya.

Ahmad Ridhwan berkata punca kejadian dipercayai salah faham susulan wanita itu memuat naik kenyataan di aplikasi media sosialnya mengenai isu anti vaksin dan katanya lagi, mangsa pernah ke rumah suspek bagi memujuk ibu mertua salah seorang suspek untuk mengambil suntikan vaksin bagaimanapun ditolak.

“Suspek dipercayai tidak berpuas hati dan tersinggung dengan status yang dimuat naik wanita itu kemudian bertindak menyerang mangsa bersama ahli keluarga yang lain,” katanya.

Ahmad Ridhwan berkata kesemua mereka direman empat hari bermula 25 Nov lalu sehingga esok dan kes disiasat bawah Seksyen 506 dan 427 Kanun Keseksaan.

Terdahulu, tular sebuah video berdurasi 19 saat dari aplikasi Tik Tok menunjukkan beberapa individu seakan mengepung sebuah kenderaan dan salah seorangnya dilihat memegang sebatang kayu.

-BERNAMA

Categories
AGENDA BERITA UTAMA NASIONAL PILIHAN MINGGUAN

Biasiswa khas bantu wanita sambung pengajian

SHAH ALAM, 26 NOV: Sebanyak RM5.03 juta diperuntuk untuk Wanita Berdaya Selangor (WBS) bagi memperkasa wanita dalam pelbagai bidang di negeri ini.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata dana berkenaan turut digunakan untuk Pusat Wanita Berdaya (PWB) di 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Akademi Kepimpinan Wanita untuk melatih kepemimpinan akar umbi.

“Kerajaan Negeri sentiasa memberikan komitmen tinggi bagi menggalakkan penglibatan wanita di dalam pelbagai bidang di negeri ini dengan penubuhan sebuah anak syarikat khusus berkaitan wanita iaitu Wanita Berdaya Selangor Sdn Bhd yang ditubuhkan pada 6 Januari 2021 di bawah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan),” katanya ketika membentangkan Belanjawan #Selangor 2022 pada sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Katanya, program Pembelajaran Sepanjang Hayat dengan peruntukan RM200,000 setahun diperkenal supaya golongan wanita berpeluang menyambung pelajaran.

Amirudin berkata pemberian biasiswa dengan kerjasama Open University Malaysia (OUM) itu khusus untuk wanita Selangor terpilih.

Selain itu, Kerajaan Negeri turut memperuntuk RM200,000 bagi meneruskan talian hotline khas Keganasan Domestik Talian (SELamat) yang diumumkan dalam Pakej Rangsangan Selangor 2.0.

Dana berkenaan juga diguna bagi menjalin kerjasama dan membantu pusat perlindungan wanita terlibat dengan kes keganasan domestik.

Categories
PENDAPAT RENCANA

Jangan ‘tutup mata’ isu kemiskinan haid

Oleh Norhidayyu Zainal

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Polemik kemiskinan lumrahnya berkisar tentang aspek “mengisi perut” iaitu memastikan sentiasa ada makanan untuk mereka yang berkenaan, namun, ada aspek lain yang barangkali jarang terlintas di fikiran kebanyakan kita, iaitu bagaimana kemiskinan memberi kesan kepada kaum hawa – remaja atau dewasa – dalam menguruskan haid mereka.

Pernahkah kita terfikir bagaimana kaum hawa yang tinggal dalam keadaan serba kekurangan menguruskan aspek “datang bulan” yang mungkin dianggap remeh dan tabu dalam kalangan sesetengah ahli masyarakat?

Tahukah kita ada pelajar perempuan di negara ini sanggup ponteng sekolah semata-mata kerana tidak selesa dan malu setiap datang bulan kerana tidak mampu membeli tuala wanita yang bagi mereka adalah barangan mewah?

Mungkin sukar untuk dipercayai, tetapi inilah realiti yang sering ditemukan oleh badan bukan kerajaan (NGO) ketika melakukan program komuniti di kawasan pedalaman, terutama di Sabah, Sarawak ataupun bersama masyarakat Orang Asli.

Lebih membimbangkan, isu ini juga semakin menekan kelompok miskin bandar, terutama semasa penularan pandemik Covid-19 sejak tahun lepas yang menyebabkan ramai dalam kalangan kaum hawa terpaksa “mengorbankan” tuala wanita kerana faktor kewangan.

Kekeliruan kemiskinan haid

Pada 2018, Bank Dunia menganggarkan lebih kurang 500 juta wanita di seluruh dunia tidak mampu memperoleh keperluan asas sewaktu haid atau turut diistilahkan sebagai “kemiskinan haid”.

Negara ini juga berdepan masalah sama, namun tidak diangkat sebagai polemik terbuka menyebabkan hingga kini tiada data dikeluarkan berkenaan jumlah sebenar kumpulan yang terkesan oleh permasalahan itu.

Bukan itu sahaja, kekeliruan tentang kemiskinan haid juga masih tinggi dalam masyarakat apabila isu tersebut hanya dipandang dari satu sudut, iaitu kekangan membeli barangan peribadi untuk kebersihan ketika haid.

Bagaimanapun menurut pakar sosiologi daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Dr Sh Fatimah Alzahrah Syed Hussien, pandangan itu tidak tepat kerana kemiskinan haid meliputi aspek yang lebih kompleks, terutama dalam memastikan pengurusan haid yang selamat, bersih dan bermaruah.

Katanya, ada empat elemen asas yang perlu ditangani dalam menyelesaikan isu kemiskinan haid, iaitu akses kepada produk sanitari, ilmu dan didikan tentang haid, akses kepada infrastruktur sanitari, dan privasi untuk menukar tuala wanita.

“Kekeliruan tentang kemiskinan haid ini yang perlu diperjelaskan kepada masyarakat kerana jika kita tidak serius menangani permasalahan ini, ia akan mengakibatkan krisis kesihatan dalam kalangan wanita, seterusnya memberi impak buruk kepada kehidupan seharian mereka,” katanya kepada Bernama.

Beliau yang sedang mengkaji kemiskinan haid dalam kalangan belia, berkata stigma dan perspektif negatif tentang haid yang masih menebal dalam kalangan masyarakat dengan menganggap isu itu adalah masalah peribadi, mengehadkan ruang perbincangan.

Ketiadaan usaha untuk membincangkan isu kemiskinan haid secara terbuka menjadikan isu itu sukar diatasi dan ini juga yang menyebabkan masih ramai dalam kalangan wanita tidak tahu menguruskan haid dengan cara yang betul, katanya.

Beliau berkata kesan jangka panjang ialah masalah kesihatan, terutama jangkitan kuman apabila kebersihan sewaktu haid tidak diuruskan dengan sebaiknya.

Tingkatkan pemantauan

Sh Fatimah Alzahrah yang merupakan penasihat PeduliMerah, satu gerakan advokasi kemiskinan haid di Malaysia yang menggabungkan NGO dan penyelidik, berkata setiap individu perempuan perlu mendapat akses terhadap keperluan asas seperti tuala wanita dan peluang pendidikan yang setara.

Kerajaan perlu mengumpulkan data rasmi bagi mengesan jumlah sebenar wanita yang terkesan oleh kemiskinan haid agar usaha dapat dijalankan untuk menangani isu tersebut, katanya.

“… ketika pandemik Covid-19, ramai yang terkesan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan dan melalui pemerhatian di kawasan perumahan kos rendah projek perumahan rakyat (PPR), permintaan kepada produk menjagaan haid ketika pandemik meningkat,” katanya, menambah melalui data itu kerajaan boleh mengeluarkan peruntukan untuk membantu golongan terjejas.

Pada masa ini, banyak negara di dunia mengambil langkah menangani cabaran kemiskinan haid, contohnya Britain yang memperuntukkan dua juta pound (RM10.7 juta) kepada pertubuhan yang berusaha menamatkan kemiskinan haid secara global, selain 250,000 pound (RM1.3 juta) untuk petugas khas jabatan kerajaan, badan kebajikan dan perusahaan persendirian bagi menangani isu itu.

Scotland pula memberi akses percuma kepada barangan haid kepada semua wanita dan berjaya menangani kemiskinan haid secara efektif. Begitu juga Perancis yang mengurangkan cukai jualan untuk barangan haid, sementara New Zealand memberi tuala wanita secara percuma kepada semua murid perempuan di sekolah, kata Sh Fatimah Alzahrah.

Selain itu, beliau juga mencadangkan agar kerajaan menimbang pembelajaran berkaitan haid di sekolah pada setiap peringkat agar dapat menghapuskan stigma terhadap haid dan melihat perkara tersebut sebagai satu proses semula jadi, selain menggalakkan perbincangan positif.

Pihak berwajib juga perlu melakukan pemantauan bagi mengenal pasti kelompongan dalam ketersediaan fasiliti di sekolah dan tempat awam demi memudahkan wanita menguruskan haid mereka.

Wanita KEADILAN Johor mengagihkan tuala wanita kepada orang ramai pada 6 April 2021. Foto Facebook Wanita Keadilan Johor

Bantu hapuskan stigma

Sementara itu, usaha tiga sahabat, Fitriyati Bakri,26; Maisarah Razali,29; dan Amir Junaidi, 32, yang merupakan alumni Mycorps, sebuah badan sukarelawan belia di bawah Kementerian Belia dan Sukan, memulakan inisiatif memberi tuala wanita guna semula secara percuma kepada golongan memerlukan, terutama di kawasan pedalaman, semakin mendapat sambutan.

Projek yang digerakkan sejak dua tahun lepas itu atas nama BUNGA Pads, adalah cetusan daripada pengalaman Fitriyati yang menyertai misi pembangunan komuniti selama dua bulan di Gabura, Satkhira, Bangladesh pada 2017.

Matlamat gerakan itu ialah untuk mengurangkan jumlah pelajar perempuan yang ponteng sekolah ketika haid selain memberi peluang pekerjaan kepada ibu tunggal yang kurang berkemampuan dengan menjadi tukang jahit tuala wanita boleh guna semula.

Semangat untuk memulakan projek tersebut semakin berkobar-kobar apabila mereka melihat sendiri isu kemiskinan haid yang berlaku di beberapa kawasan di pedalaman Sabah.

“Rasa ditampar-tampar apabila masalah ini turut berlaku di Malaysia terutamanya di negeri kelahiran saya sendiri iaitu Sabah.

“Percayalah, isu kemiskinan haid ini bukan sahaja berlaku di negara kurang membangun seperti Nepal, Bangladesh dan India, tetapi turut dialami pelajar perempuan di perkampungan Orang Asli dan di pedalaman Sabah dan Sarawak,” kata Fitriyati kepada Bernama.

Menurutnya, kemiskinan haid yang berlaku antaranya di Pulau Mabul dan Pulau Omadal di Sabah, bukan semata-mata isu tidak mampu membeli tuala wanita, sebaliknya melibatkan keempat-empat elemen asas pengurusan haid.

“Tiada ilmu tentang pendidikan haid, tiada tandas malah ada tempat di Pulau Mabul contohnya, perlu membeli air untuk mandi.

“Ada pelajar sekolah dari pulau itu, jika datang haid tidak pergi ke sekolah yang terletak di tanah besar, sebab tidak selesa kerana tidak ada duit untuk membeli tuala wanita,” katanya.

Kerjasama NGO

Jelasnya, BUNGA Pads yang turut mendapat kerjasama daripada pelbagai NGO, memberi fokus kepada tiga perkara utama iaitu pendidikan, alam sekitar dan memperkasakan wanita.

Usaha itu bertujuan mendidik remaja perempuan menguruskan haid dengan betul, terutama mengenai kebersihan peribadi dan pendidikan kesihatan reproduktif, selain mengeluarkan produk sanitari yang lebih selamat dan bersifat mesra alam.

Projek menjahit tuala wanita pula ditumpukan pada kumpulan ibu tunggal dalam golongan B40 selain menyasarkan untuk menubuhkan sekolah vokasional khusus dalam bidang jahitan bagi membantu kumpulan tersebut dan pelajar tercicir.

Turut prihatin terhadap isu berkenaan ialah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menerusi pasar rayanya, YADIMart, yang menyediakan tuala wanita percuma kepada golongan wanita miskin bandar.

Ketua Pegawai Eksekutif Yadim Tuan Kamarul Arief Tuan Soh menyifatkan isu kemiskinan haid adalah realisme kepada situasi sebenar yang dihadapi oleh rakyat kelompok terbawah.

Beliau berkata antara tujuan penubuhan YADIMart, selain memenuhi objektif pembinaan ekonomi dan perniagaan, juga untuk berdakwah dan kebajikan.

“Bagi kami, projek bank makanan akan dijadikan identiti wajib. Di ruang ini, kami tidak sekadar meletakkan barangan makanan tetapi juga barangan keperluan bukan makanan termasuk tuala wanita,” katanya.

-BERNAMA

Categories
AGENDA NASIONAL

Raja Permaisuri Agong zahir ucapan terima kasih kepada petugas hadapan wanita

KUALA LUMPUR, 25 OGOS: Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini menzahirkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga atas kerja keras yang ditunjukkan pekerja wanita di negara ini, terutamanya petugas barisan hadapan dalam menangani pandemik Covid-19.

Tunku Azizah bertitah petugas barisan hadapan seperti jururawat, doktor dan polis merupakan benteng negara dalam memutuskan rantaian wabak Covid-19 dengan menabur khidmat secara penuh ikhlas, amanah, berkesungguhan dan bersemangat juang.

“Saya ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Wanita buat semua rakyat dan wanita seluruh negara Malaysia.

“Semoga Hari Wanita tahun ini memberi keinsafan buat kita semua untuk terus berusaha menangani segala cabaran terutama musibah wabak Covid-19,” titah Tunku Azizah sempena Majlis Pelancaran Sambutan Hari Wanita Kebangsaan ke-59 secara maya, hari ini.

Majlis sambutan bertemakan ‘Wanita Berjuang Menghapus Covid-19’ itu adalah anjuran bersama Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO).

Dalam titah ucapan itu, Tunku Azizah berharap masalah pendapatan, kesihatan fizikal dan mental, keselamatan serta mengukuhkan perpaduan dalam kalangan wanita diberi perhatian.

“Saya memandang berat tajuk forum yang dianjurkan NCWO sempena Hari Wanita tahun ini setelah kita melalui kesulitan wabak Covid-19, amat tepatlah masanya untuk kita bersama-sama mencari jalan untuk memulihkan negara dengan segera.

“Khususnya bagi meningkatkan kualiti hidup kaum wanita dan keluarga mereka dengan segera, seterusnya masyarakat sekeliling. Carilah jalan terbaik termasuk penggunaan teknologi untuk tingkatkan mutu kehidupan,” titah baginda.

Tunku Azizah turut berharap wanita diberi kemudahan dalam menjalankan tugas untuk memajukan kedudukan kaum wanita di negara ini.

Seri Paduka turut menzahirkan ucapan syabas kepada semua wanita yang telah memberi sumbangan sukarela semasa musibah Covid-19 melanda negara termasuk menyalurkan barang makanan, keperluan harian, khidmat kaunseling dan bantuan kepada warga emas, Orang Kurang Upaya serta kanak-kanak.

“Telah sampai ke pengetahuan saya bahawa sejak Perintah Kawalan Pergerakan, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) wanita telah banyak beri sumbangan dalam membanteras wabak Covid-19.

“NCWO pula telah mengutip derma untuk membekalkan pakai pelindung diri bagi wad Covid-19 Pediatrik termasuk pakaian, sarung tangan dan kaki serta penutup muka. NCWO juga telah menyumbang alat bantuan pernafasan termasuk monitor, pelitup wajah dan kotak intubasi kepada beberapa hospital kita,” titahnya.

Dalam pada itu, semasa sesi webinar, Ahli Jawatankuasa Pengurusan NCWO Tan Sri Dr Jemilah Mahmood berkata kajian mendapati satu daripada 100 wanita hamil dijangkiti virus Covid-19 di negara ini.

Katanya angka itu membimbangkan berikutan kebanyakan ibu mengandung yang meninggal dunia didapati tidak mengambil vaskin atau lengkapkan vaksinasi mereka.

“Individu yang meninggal dunia akibat Covid-19 adalah mereka yang ambil vaksin tidak lengkap, dua orang telah meninggal dunia. Ini bermakna individu yang meninggal dunia adalah mereka yang tidak mengambil vaksin.

“Ini kadang kala bukan kerana mereka tidak mahu divaksin sebaliknya pengaruh orang sekeliling seperti suami dan ibu,” katanya.

Justeru kesedaran mengenai kepentingan pengambilan vaksin Covid-19 perlu dipergiatkan dalam kalangan wanita terutama mereka yang sedang hamil.

-BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

19 kertas kerja dikumpul rungkai pelbagai isu

SHAH ALAM, 24 APRIL: Sebanyak 19 kertas kerja berjaya dikumpul untuk dibentangkan pada Persidangan Wanita Selangor Hybrid yang berlangsung selama lima hari.

EXCO pembangunan wanita dan keluarga berkata kertas kerja itu membahaskan isu kesihatan, pendidikan, kekeluargaan, politik dan kepimpinan, pemberdayaan ekonomi, sektor pekerjaan serta kesenian.

Dr Siti Mariah Mahmud memaklumkan semua kertas kerja yang dibentangkan ilmuwan akan diadili jawatankuasa panel penilai dalam 10 pakar bidang khusus.

Dr Siti Mariah Mahmud menyampaikan ucapan dalam Persidangan Wanita Selangor Hybrid 2021 di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 24 April 2021. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

“Saya berterima kasih kepada jawatankuasa panel penilai kerana sudi memanfaatkan kebitaraan dalam bidang masing-masing untuk memastikan penyelidikan dan kajian melalui persidangan ini mencapai tahap selayaknya,” katanya.

Beliau berucap pada persidangan itu sempena Ekspo Hasil Suri Selangor (HaSSel) Hybrid di Foyer SUK di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Pandan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sementara itu, Dr Siti Mariah berharap persidangan tersebut memberi input bermakna bagi memastikan agenda Kerajaan Negeri berkaitan wanita dapat dilaksana secara menyeluruh.

Beliau juga berhasrat menjadikan persidangan itu sebagai acara tahunan di bawah portfolionya dengan kerjasama Wanita Berdaya Selangor selepas melihat kepentingan kerajaan mendepani isu wanita.

“Justeru, saya mendoakan persidangan ini berjaya membuka minda seluruh lapisan masyarakat untuk memahami lebih mendalam tentang isu wanita sekali gus memberi manfaat kepada pembangunan negara,” katanya lagi.

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Dulu jururawat kini jadi anggota bomba

SEREMBAN, 7 MAC: Minat yang mendalam terhadap tugasan berat dan lasak mendorong Normaisarah Ibrahim, 31, meninggalkan kerjayanya sebagai jururawat tujuh tahun lepas demi memenuhi cita-cita menjadi seorang anggota bomba dan penyelamat.

Normaisarah berkata meskipun kerjaya berkenaan didominasi kaum lelaki, namun beliau mahu membuktikan dirinya setanding dengan mereka, sekali gus mampu menggalas tugas sebagai anggota bomba yang sentiasa bersiap sedia menempuh segala cabaran.

“Saya sukakan cabaran dan meminati kerjaya dalam bidang yang memerlukan kita bergerak aktif, oleh sebab itu saya beralih menjadi anggota bomba yang memang telah lama saya idamkan.

“Ditambah pula saya suka berinteraksi dengan masyarakat. Menerusi kerjaya ini, saya boleh menabur bakti kepada mereka menerusi aktiviti khidmat masyarakat, penyelamatan dan sebagainya,” katanya kepada Bernama hari ini.

Anak kelahiran Kubang Kerian, Kelantan ini berkata, beliau mula berkhidmat sebagai anggota bomba pada 2017 di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban dan antara tugas pertamanya ialah memadam kebakaran dan tugasan khidmat khas seperti menyelamat mangsa kemalangan.
Bagaimanapun, Normaisarah berkata sejak tiga tahun lepas, beliau ditugaskan di unit khas medik Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS) yang memberi perawatan awal kepada mangsa terlibat dalam kemalangan.

Berkelulusan Diploma Kejururawatan dari Masterskill University College of Health Sciences, Kuala Lumpur pada 2011, wanita kental ini berkata pengalamannya sebagai jururawat juga turut diaplikasikan ketika bertugas di unit EMRS dengan lebih baik.

“Dua hari lepas, saya terlibat dalam operasi menyelamatkan mangsa kemalangan membabitkan dua kenderaan, dua maut dan tiga lagi cedera akibat tersepit. Melalui pengalaman, saya dapat menilai tahap kesedaran mangsa kemalangan dengan cepat serta memberi rawatan awal kepada mereka yang cedera sebelum dihantar ke hospital,” katanya.

Bercerita lanjut, Normaisarah berkata antara tugasan yang paling mencabar ialah sewaktu melakukan penugasan kecemasan harian yang prosedurnya dilaksanakan dengan lebih ketat susulan negara dilanda pandemik Covid-19.

Jelasnya, setiap anggota perlu mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) ditetapkan iaitu memakai peralatan perlindungan peribadi (PPE) walaupun berdepan dengan kes kecemasan biasa.

“Apabila menyelamatkan mangsa yang terperangkap dalam kemalangan jalan raya atau kebakaran, kami perlu memakai PPE dalam keadaan cuaca panas ditambah perlu memegang hos seberat 16 kilogram untuk memadam kebakaran,” katanya yang telah terlibat lebih 30 kes operasi memadam kebakaran dan khidmat khas.

Normaisarah menasihati golongan muda terutama wanita yang mahu menceburi kerjaya sebagai anggota bomba dan penyelamat perlu mempunyai mental dan fizikal yang kuat selain tidak mudah putus asa.

“Saya percaya kita sebagai wanita mampu mengalas tugas ini dengan baik setanding dengan lelaki,” katanya yang menyimpan hasrat untuk menjadi pegawai bomba wanita yang berjaya dan memberikan perkhidmatan cemerlang kepada masyarakat.

– BERNAMA

Categories
BERITA UTAMA EXCO SELANGOR

EXCO gesa wanita manfaat media sosial untuk jana pendapatan

SHAH ALAM, 30 JAN: Wanita digesa memanfaatkan platform media sosial untuk menjana pendapatan, kata EXCO pembangunan usahawan.

Rodziah Ismail berkata golongan itu tidak sepatutnya menjadikan Covid-19 dan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai alasan tidak boleh berniaga.

“Ramai yang ada Facebook, Instagram tetapi tidak manfaatkan medium itu dengan perkara berfaedah.

“Justeru, saya cadangkan golongan hawa terokai bagaimana hanya dengan media sosial anda boleh jana sekurang-kurangnya RM150 sehari,” katanya pada program bual bicara di Facebook.

Beliau mencadangkan wanita membuat kelas tuisyen secara dalam talian memandangkan ramai pelajar tidak boleh ke sekolah susulan pandemik.

“Berniaga tidak semestinya ada lokasi, kita perlu kreatif menjadikan platform maya sebagai lubuk rezeki dan ubah minda agar tidak terlepas dengan perkembangan teknologi,” katanya.

Categories
AGENSI SELANGOR

Polis buru dua suspek cubaan ragut di Bandar Sri Damansara

KUALA LUMPUR, 13 DIS: Polis sedang memburu dua suspek yang terlibat dalam kes cubaan ragut bermotosikal ketika menunggu lampu isyarat di Bandar Sri Damansara semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Nik Ezanee Mohd Faisal berkata kejadian itu telah dirakam netizen menerusi kamera yang dipasang pada sebuah kereta.

“Suspek telah memecahkan tingkap kereta di sebelah penumpang bagi meragut beg tangan mangsa tetapi gagal apabila mangsa sempat memegang beg tangannya dan suspek terus melarikan diri.

Polis buru dua suspek dalam kes cubaan ragut bermotosikal ketika menunggu lampu isyarat di Bandar Sri Damansara pada 13 Disember 2020. Tangkap Layar: Facebook Sukan Star TV

“Mangsa seorang wanita berumur 47 tahun, tidak mengalami sebarang kecederaan namun kerugian akibat tingkap keretanya yang dipecah,” katanya pada Bernama hari ini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan bagi cubaan merompak yang membawa hukuman maksimum penjara tujuh tahun dan denda, jika disabit kesalahan.

-BERNAMA

 

Categories
BERITA UTAMA SELANGOR

MB: Hentikan keganasan terhadap wanita, perkukuh institusi keluarga

SHAH ALAM, 25 NOV: Kesedaran menghentikan keganasan terhadap wanita tidak seharusnya terhenti melalui kempen 16 hari aktivisme sahaja sebaliknya perlu diteruskan sehingga menjadi kebiasaan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata masyarakat perlu prihatin bahawa keganasan perbuatan salah dan tidak sepatutnya menimpa sesiapa.

“Kempen 16 hari ini merupakan satu momentum untuk memberi isyarat bahawa keganasan terhadap wanita adalah bentuk perlakuan yang tidak seharusnya berlaku.

“Kerajaan Negeri akan terus menyokong dan mengalu-alukan kerjasama semua pihak untuk bersama dalam kempen 16 Hari kerana masalah sosial ini terjadi pada semua peringkat masyarakat tanpa mengira bangsa, kelas serta status ekonomi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Kempen 16 Hari Aktivisme Menangani Keganasan Berasaskan Gender Peringkat Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.

Amirudin menambah setiap institusi keluarga berhadapan dengan pelbagai ujian dalam mempertahankan keutuhannya dan memerlukan ekosistem sokongan kuat daripada masyarakat serta undang-undang.

Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor sebelum ini memaklumkan isu keganasan rumah tangga di negeri ini mencatat peningkatan sebanyak 80 peratus dengan 254 kes antara Januari hingga Oktober lalu.

Menurut statistik Unit Perundangan dan Penguatkuasaan, kes tertinggi direkodkan di Hulu Langat (70 kes), Gombak (34 kes), Subang Jaya (34 kes), Klang (29 kes) dan kawasan lain (90 kes).