Categories
SELANGOR

KITTIS anjur konvoi amal kumpul dana tahfiz Selangor

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 15 JULAI: Sebuah program Konvoi Amal Tahfiz Seluruh Selangor (KATTAS 1.0) akan dilancarkan bertujuan mengutip dana bagi menaiktaraf Sekolah Agama Rakyat (SAR) di negeri itu untuk memastikan pelajar mendapat pendidikan terbaik, pada 19 Julai ini.

Konvoi anjuran Kolej Integrasi Tahfiz Tunas Ilmuwan Selangor (KITTIS) Sabak Bernam itu akan diterajui kira-kira 200 penunggang motosikal dari Kelab Bermotosikal Alternatif (ARC) Selangor.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali, berkata tiga kawasan ditetapkan untuk konvoi berkenaan antaranya Serdang, Gombak dan Shah Alam.

halimah ali sekolah agama purple 01Katanya, konvoi yang diketuai pihak ARC Selangor itu turut membabitkan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Sabak Bernam, Kelab Motosikal, PAS Selangor dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) KITTIS.

“Memang menjadi hasrat kerajaan Selangor mahu melihat SAR berupaya untuk memainkan peranan mengilmukan rakyat khususnya pelajar, bahkan Kerajaan Negeri sendiri sudah memberi peruntukan untuk sekolah berkenaan bagi menjayakan usaha murni itu.

“Memandangkan KITTIS yang ditubuhkan pada tahun 2010 ini berkembang dengan baik, maka ia memerlukan dana yang agak besar untuk memastikan pelajar diberikan pendidikan yang syumul di samping menjadi tahfiz terbaik,” katanya kepada Selangor Kini.

hari guru halimah pc 01Halimah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang, berkata konvoi berkenaan tidak menetapkan sasaran khusus untuk mengumpul dana, namun berharap mampu mendapat sekurang-kurangnya RM3 juta sumbangan daripada masyarakat.

Katanya, kerajaan Selangor sendiri sudah memperuntukkan hampir RM6 juta pada fasa pertama kepada 284 SAR di negeri itu, pada 7 Julai lalu.

“Kita bukan sahaja ingin menaiktaraf kemudahan yang ada tetapi turut berhasrat membina bangunan baru kerana permintaan untuk memasuki KITTIS ini semakin bertambah.

“Kerajaan Negeri mengharapkan sebanyak mungkin dana boleh dikumpulkan bagi keperluan sekolah jenis ini,” katanya.

Setakat ini, sejumlah RM38.5 juta sudah diluluskan Kerajaan Negeri sejak tahun 2009 untuk diagihkan kepada SAR.

Sekolah yang berminat untuk mendapat bantuan berkenaan boleh memohon secara talian di portal rasmi Kerajaan Selangor.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.