Categories
SELANGOR

Halimah: “Mungkin ada sedikit ribut dalam cangkir, itu biasa”

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 15 JULAI: PAS Pusat masih belum membuat sebarang keputusan berhubung kedudukan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor yang mendapat tekanan daripada sesetengah pihak sejak kebelakangan ini.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali, berkata PAS Selangor masih lagi menunggu keputusan pimpinan tertinggi parti itu berhubung perkara berkenaan.

Khalid-Ibrahim-SELANGORBeliau berkata, kerajaan Selangor sedia ada masih berfungsi seperti biasa waalupun pelbagai spekulasi timbul berkenaan jawatan Abdul Khalid.

“Kita serahkan kepada PAS Pusat untuk membuat keputusan tetapi kerajaan Selangor sedia ada masih berfungsi seperti biasa, mungkin adalah sedikit ribut dalam cangkir tetapi itu biasalah.

“PAS Pusat sudah memanggil Badan Perhubungan Selangor untuk mendengar penerangan berkenaan perkara ini dan sekarang dalam proses keputusan,” katanya ketika mengulas pendirian PAS berhubung jawatan tertinggi pemimpin negeri itu.

Kedudukan Abdul Khalid sebagai Menteri Besar kini menerima tekanan daripada pihak tertentu apabila terdapat gesaan terbuka supaya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang itu melepaskan jawatan yang disandangnya.

Dr HalimahTerbaru, Abdul Khalid didakwa akan menyertai parti Islam itu selepas gambarnya sedang mengadakan perbincangan bersama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dimuat naik di laman Facebooknya.

Bagaimanapun, perkara itu dinafikan Abdul Khalid dan beliau menegaskan turut bergambar bersama beberapa pemimpin daripada pelbagai parti termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga pengerusi Barisan Nasional (BN).

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.