Categories
NASIONAL

Lawat gelandangan, Najib cari publisiti selamat imej buruk BN

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 11 JULAI: Kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melawat gelandangan di ibu kota, malam kelmarin sekadar ingin mencari publisiti bagi menyelamatkan imej Barisan Nasional (BN) yang dirosakkan menteri kabinetnya.

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng, berkata lawatan pemimpin tertinggi negara sambil melihat kegiatan dapur jalanan dan agihan makanan kepada gelandangan disifatkan agak terlewat, bahkan tidak memberi sebarang faedah kepada golongan itu.

Beliau berkata, nasib warga miskin kota tidak berubah walaupun Perdana Menteri sendiri turun padang melawat golongan berkenaan.

najib“Saya hairan melihat Perdana Menteri sekadar datang melawat gelandangan di kaki lima dan kemudian membiarkan sahaja mereka di situ tanpa berbuat apa-apa. Bagaimana mungkin warga miskin terus dibiar tidur di kaki lima selepas lawatan Perdana Menteri?

“Ini jelas menunjukkan bahawa beliau tidak pernah berbuat apa-apa sejak lima tahun lalu dan beliau sendiri tidak tahu apa yang patut dilakukan sekarang,” katanya dalam satu kenyataan.

Lip Eng berkata, beliau dan beberapa orang rakan sebelum ini pernah mengedarkan sejumlah makanan kering kepada gelandangan di Kuala Lumpur bagi menolak dakwaan Najib bahawa kononnya ibu kota sudah tidak lagi mempunyai warga miskin tegar.

Katanya, Perdana Menteri dan partinya tidak banyak membantu untuk meringankan beban yang ditanggung insan tidak bernasib baik, sebaliknya hanya pandai membuat pengumuman dan janji kosong.

“Adakah selepas lawatan ini Najib akan merangka penyelesaian terbaik bagi menangani permasalahan gelandangan dan warga miskin kota atau adakah cadangan ‘mengangkut’ peminta sedekah serta mengenakan saman terhadap mereka yang memberi sedekah adalah rancangan terbaik yang mampu beliau fikirkan?

limlipeng“Lawatan Perdana Menteri sama tarafnya dengan satu-satunya gol yang dijaringkan Brazil dalam perlawan separuh akhir Piala Dunia menentang Jerman selepas dimalukan dengan tujuh gol,” katanya.

Kelmarin, Najib dilaporkan tiba pada jam 10.40 malam dan meluangkan masa kira-kira sejam melihat aktiviti pengagihan makanan dan minuman oleh sukarelawan dan berjalan di sekitar Bangunan Cahaya Suria di ibu negara.

Najib, yang ditemani Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Menteri Pembangunan Wanita, Datuk Seri Rohani Abdul Karim bertegur sapa dengan gelandangan yang tidur di tepi jalan.

Isu gelandangan di ibu kota menjadi topik hangat selepas Tengku Adnan berikrar membersihkan Kuala Lumpur daripada pengemis dan golongan tidak berumah, terutama dalam lingkungan 2 kilometer daripada Lot 10 di Bukit Bintang.

Untuk tujuan itu, pemberi sedekah dan sukarelawan dapur umum juga akan disaman jika terus membantu golongan itu.

Tengku Adnan membenarkan aktiviti dapur jalanan beroperasi sehingga 16 Ogos ini, iaitu selepas sambutan Aidilfitri.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.