Categories
SELANGOR

MBPJ guna prinsip ‘placemaking’ elak masalah trafik

Oleh: NORHAYATI UMOR

PETALING JAYA, 9 JULAI: Sebarang permohonan bagi projek di bawah kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) selepas ini akan dibincangkan bersama pemaju lain bagi mengelakkan pembangunan yang tidak selaras dengan keadaan trafik.

Datuk Bandar MBPJ, Datin Paduka Alinah Ahmad, berkata ekoran itu prinsip ‘placemaking’ iaitu asas bagi mencapai perancangan guna tanah bersepadu dengan pengangkutan akan diguna pakai.

Katanya, pembangunan di bandar perlu dirancang sekali dengan ruang dan manusia bagi mengatasi masalah kesesakan.

_MG_7217“Jika bandar dirancang untuk kenderaan dan lalu lintas, maka kita akan kesesakan.

“Sebaliknya, tidak akan berlaku kesesakan, jika kita rancang untuk manusia dan ruang. Oleh itu, kita perlu memilih reka bentuk jalan bagi keselesaan manusia,” katanya.

Alinah berkata, perancangan guna tanah itu akan dilaksanakan secara bersepadu dengan perancangan lalu lintas dan pengangkutan bagi mencapai matlamat keselesaan penduduk dengan kos yang minima.

Sehubungan itu, katanya, sejajar dengan kepesatan pembangunan, Petaling Jaya akan dibangunkan dengan konsep ‘smart growth’ dan ‘compact city’.

“Pembangunan ‘vertical’ akan digalakkan supaya ruang boleh dijimat dan digunakan untuk penyediaan kemudahan awam.

“Ruang yang selama ini terpaksa digunakan untuk tempat letak kereta persendirian boleh digunakan bagi kemudahan awam seperti rekreasi atau dewan orang ramai. Had pembangunan guna tanah akan ditetapkan oleh keupayaan infrastruktur sedia ada,” katanya.

MBPJBeliau berkata, konsep itu juga mengguna pakai strategi melalui perancangan yang menerapkan konsep pembangunan berasaskan transit (TOD) dan bercampur.

“Pembangunan TOD ini akan meningkatkan mobiliti melalui penyediaan ‘feeder service’, penjalan kaki, penyediaan kemudahan awam dan sosial seperti laluan basikal serta pembangunan berasaskan kaedah ‘green building’,” katanya.

Beliau berkata, MBPJ komited untuk melaksanakan prinsip pembangunan mampan di Petaling Jaya.

“Rangka kerja dasar perancangan ‘PJ Sustainable 2030’ menetapkan lima hala tuju utama antaranya alam sekitar lestari, ekonomi berdaya saing, budaya dan komuniti harmoni, bandaraya berdaya huni dan urus tadbir baik,” katanya.

Setakat ini, MBPJ sudah melaksanakan beberapa langkah antaranya perkhidmatan bas komuniti, Van Transit OKU, bas percuma, pembinaan park n ride dan tempat caj kereta elektrik percuma.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.