Categories
SELANGOR

Pendapatan nelayan Kuala Langat merosot kerana operasi korek pasir

Oleh: NAEEM RAFFI

BANTING, 12 JULAI: Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Langat (PNKKL) membantah sekeras-kerasnya aktiviti mengorek dan mengangkut hasil pasir di muara dan perairan wilayah itu oleh syarikat swasta.

Pengerusinya, Mohd Jaman Haris, berkata pihaknya mengenalpasti beberapa keraguan berhubung kelulusan operasi mengorek pasir oleh Syarikat JICOM Sdn Bhd termasuk wilayah kebenaran melakukan operasi pengorekan.

“Dalam surat kebenaran, JICOM hanya dibenarkan menjalankan operasi mengorek pasir di kawasan luar perairan Selangor. Persoalannya, mengapa kkerja mengorek pasir ini berlaku kurang satu batu nautika sepanjang persisiran pantai Kuala Langat.

Sidang Media bersama nelayan kawasan kuala langat (101)a“Menariknya, surat bertarikh 2 April 2013 itu diluluskanDatuk Sri Dauglas Unggah Embas, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar ketika itu.

“Ia juga mencurigakan kami kerana kelulusan itu dibuat sehari sebelum Perdana Menteri mengumumkan pembubaran parlimen,” jelasnya dalam satu sidang media di Pejabat Persatuan Nelayan Kawasan Kuala Langat, di sini.

Beliau berkata, aktiviti itu turut membabitkan peranan Syarikat Global Zeta Properties Sdn Bhd selaku firma yang membeli hasil pasir perairan Kuala Langat daripada Syarikat JICOM Sdn Bhd

Sidang Media bersama nelayan kawasan kuala langat (86)aHasil pasir itu kemudiannya diangkut melalui perairan dan muara Sungai Langat ke Grominent Jetty Kuala Langat yang terletak di muara Sungai Langat berdekatan Jambatan Kampung Sawah, di sini.

Sekurang-kurangnya enam buah kapal sedut pasir dan pontoon (kapal angkut pasir) aktif beroperasi di sepanjang perairan Kuala Langat iaitu sepanjang Jeti Pengkalan Sijangkang hingga ke Tanjung Sepat.

Sebagai timbal balik, JICOM membayar pampasan RM100,000 sebagai deposit wang amanah kebajikan nelayan kepada Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Malaysia.

PNKKL berpendapat, Jabatan Perikanan sewajarnya mendapatkan pandangan masyarakat nelayan terlebih dahulu sebelum bersetuju dengan sesuatu projek yang secara jelasnya mendatangkan kesan nelayan dan laut Kuala Langat.

Sidang Media bersama nelayan kawasan kuala langat (75)aPNKKL sudah menghantar sepucuk surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak berhubung perkara itu, pada 30 Jun lalu.

“Dalam surat PNKKL kepada Perdana Menteri, kita cukup terkilan dengan tindakan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar yang secara mudah luluskan projek kepada JICOM.

“Jabatan Perikanan pula tanpa mengambil pandangan nelayan yang terjejas terus menerima pampasan daripada JICOM,” katanya.

Selangor Kini difahamkan, aktiviti terbabit mula disedari bergiat aktif di sepanjang perairan Kuala Langat sejak tiga bulan lalu.

Dikatakan, hampir 400 nelayan sepanjang perairan Kuala Langat terkesan dengan aktiviti mengorek dan mangangkut pasir.

“Dalam jangka masa panjang, 40 hingga 50 peratus hasil tangkapan nelayan akan merosot kerana aktiviti mengorek pasir ini merosakkan kawasan pembiakan ikan.

“Kaedah tangkap ikan di sini adalah pukat hanyut, apabila ada aktiviti korek pasir, pukat nelayan mudah tersangkut dan rosak. Begitu juga dengan nelayan tradisi (sampan) di pesisir pantai, pukat mereka sering rosak kerana dilanggar pontoon ketika berulang alik menggantar pasir ke ‘Stock Pile’.

“Dikhuatiri juga, pontoon yang dilabuhkan diperairan ini. Jika tidak berlampu, ia boleh menyebabkan kemalangan kepada nelayan pada waktu malam,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.