Categories
SELANGOR

Selangor kibar bendera separuh tiang hormati jenazah nahas MH17

Oleh: AFIX REDZUAN

KAJANG, 25 JULAI: Selangor bakal mengibarkan bendera separuh tiang sebagai tanda berkabung sebaik jenazah mangsa nahas pesawat MH17 selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim memaklumkan, perkara itu sudah mendapat perkenan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj.

“Kerajaan Selangor sudah mendapat perkenan DYMM Sultan supaya apabila mayat mangsa MH17 sampai di KLIA, kita akan mengibarkan bendera setengah tiang sebagai menyatakan rasa sedih dan tanggungjawab kepada semua yang meninggal dunia akibat tragedi itu,” katanya.

mh066Sultan Selangor sebelum ini menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa nahas kapal terbang Sistem Penerbangan Malaysia (MAS), MH17 yang terhempas di Timur Ukraine dan mengakibatkan 298 orang terkorban termasuk anak kapal.

Baginda berdoa supaya mereka yang kehilangan ahli keluarga dalam insiden berkenaan diberikan kekuatan dan kesabaran oleh Allah SWT.

Abdul Khalid sebelum itu merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya Sempena Hari Raya Aldilfitri peringkat Negeri Selangor 2014 anjuran Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) dan Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Selangor.

Beliau menyampaikan beberapa topi keledar dan baju pantulan cahaya kepada penunggang motosikal sebagai simbolik perasmian serta sumbangan Aidilfitri di Tol Sungai Balak.

khalidDalam ucapannya, beliau menyeru supaya budaya pemanduan berhemah dapat dijadikan sebagai amalan kehidupan harian.

“Alhamdulillah, menurut statistik kemalangan jalan raya dari IPK Selangor, jumlah kemalangan jalan raya di negeri ini didapati menurun pada Jun lalu iaitu 11,190 kes berbanding Mei lalu dengan 11,774 kes.

“Bagaimanapun, jumlah mangsa yang terkorban di jalan raya meningkat daripada 90 orang pada Mei lalu kepada 105 orang pada Jun lalu,” katanya.

Sementara bagi kemalangan di daerah, Kajang mencatatkan kematian tertinggi dengan 13 kematian diikuti Klang Selatan dengan 12 kematian, manakala Ampang mencatatkan satu kematian bagi laporan statistik kemalangan jalan raya bagi Jun lalu.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.