Categories
NASIONAL

Sentimen awam cetusan Ku Nan, tingkat penyertaan sukarelawan Dapur Jalanan

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 6 JUL: Sukarelawan yang terbabit dalam aktiviti mengedarkan makanan percuma kepada golongan miskin tegar bandar bertambah secara mendadak sejak tercetus isu penguatkuasaan mendenda orang ramai yang memberi makanan kepada keumpulan terbabit.

Hal itu dapat dilihat apabila akitiviti memberi makanan percuma yang dijalankan kumpulan amal Dapur Jalanan berjaya menarik kira-kira 250 sukarelawan, malam tadi iaitu paling ramai setakat ini.

Kumpulan 250 sukarelawan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang itu dipecahkan kepada beberapa kumpulan mengikut kawasan yang ditetapkan.

20140706_005401Salah satu daripada kumpulan terbabit beroperasi bermula dari Jalan Panggung dan bergerak ke Pasar Seni, Jalan Medan Pasar, Lebuh Ampang dan kawasan sekitarnya.

Ahli Dapur Jalanan yang juga jurucakap bagi sub kumpulan itu, Wong Kar Fai, berkata pertambahan sukarelawan itu isyarat jelas bahawa Dapur Jalanan tidak akan tunduk kepada arahan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang mahu bandaraya Kuala Lumpur bebas golongan miskin tegar bandar.

“Pada malam ini, sukarelawan semakin ramai kerana sentimen masyarakat awam terhadap isu miskin tegar bandar dan ini suatu pencapaian yang bagus, bukan untuk Dapur Jalanan tetapi untuk masyarakat awam sendiri.

“Kita lihat kenyataan Tengku Adnan itu tak masuk akal dan kami perlu buat sesuatu sebab makanan, kaunseling dan kesihatan adalah hak semua,” kata Kar Fai ketika ditemui Selangor Kini di sini, malam tadi.

Katanya, Tengku Adnan sewajarnya menjalankan kajian terhadap masalah yang dihadapi golongan terbabit bagi mendapatkan penyelesaian total, bukan menyembunyikan masalah ini daripada mata umum.

“Bila Tengku Adnan kata ini untuk membersihkan ‘bandar dia’ dari kekotoran yang dikaitkan dengan warga miskin tegar kota, jelas membuktikan dia tak melihat punca akar masalah sebenar iaitu struktur sosio ekonomi.

“Dia cuma mahu sorokkan masalah ini dengan menangkap dan mengurung dengan operasi tangkapan supaya tiada warga miskin kota kelihatan dan adakah ini berkait rapat dengan Tahun Melawat Malaysia?” katanya.

20140706_010436Kar Fai berkata, kepercayaan sesetengah masyarakat bahawa golongan miskin tegar kota tidak mempunyai pekerjaan hanya mitos kerana hal itu berlaku sebaliknya.

Bagaimanapun, tenaga golongan terbabit sering dimanipulasi majikan masing-masing dengan dibayar upah yang rendah antara RM10 hingga ke RM20 sehari.

Pendapatan yang diperoleh golongan terbabit hanya mampu menampung keperluan membeli makanan sahaja sehingga memaksa mereka mengambil keputusan untuk tinggal di jalanan sahaja.

“Sepatutnya ini tanggungjawab kerajaan tetapi mereka tak buat dan bila orang lain nak buat mereka halang pula,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.