Categories
SELANGOR

Shah Alam on Wheel di Giant Seksyen 18 Sabtu ini

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 3 JUL: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan menyediakan pejabat bergeraknya, ‘Shah Alam On Wheel’ di perkarangan tempat letak kereta, Pasar Raya Giant, Seksyen 18, di sini, pada 5 Julai ini.

Timbalan Pengarah Korporat MBSA, Shahrin Ahmad, berkata pejabat bergerak itu akan beroperasi bermula jam 10 pagi hingga 3 petang.

Shah Alam On Wheel akan menyediakan 18 jenis perkhidmatan bagi memudahkan orang ramai membuat urusan seperti rujukan, semakan dan pembayaran.

“Antara kemudahan perkhidmatan yang disediakan adalah semakan dan mencetak bil, penyata cukai taksiran, mengemaskini maklumat pemunya cukai taksiran serta pembayaran cukai taksiran secara dalam talian.

MBSA“Orang ramai juga boleh membuat pembaharuan dan semakan lesen perniagaan, membuat aduan dan penjualan kupon letak kereta,” katanya dalam satu kenyataan.

Shah Alam On Wheel mula beroperasi pada 1 Mac lalu dengan petugas tetap daripada pelbagai jabatan dalaman MBSA seperti Jabatan Kewangan, Jabatan Pelesenan dan Penguatkuasaan, Jabatan Korporat serta Jabatan Bangunan.

Pejabat bergerak itu menyediakan perkhidmatan luar pejabat yang juga komitmen dan inisiatif MBSA untuk menambah sistem penyampaian ‘delivery system’.

“Selain itu, pengoperasian ini juga adalah salah satu langkah MBSA untuk memperbanyakkan aktiviti turun padang bagi memberi peluang kepada orang ramai berurusan secara terus dengan kami.

“Melalui perkhidmatan ini, kami berharap dapat memantapkan lagi sistem perkhidmatan MBSA untuk manfaat masyarakat,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.