Categories
SELANGOR

Sultan Selangor: Keluarga MH17 diharap tabah & sabar hadapi dugaan

Oleh: AFIX REDZUAN

KUANG, 23 JULAI: DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa nahas kapal terbang Penerbangan Malaysia (MAS) – MH17 yang terhempas di Ukraine.

Baginda Sultan berdoa supaya keluarga yang kehilangan ahli keluarga dalam insiden berkenaan diberikan kekuatan dan kesabaran oleh Allah SWT.

DYMM“Beta ingin menyampaikan rasa sangat duka cita Beta terhadap insiden yang menimpa pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17, yang telah mengorbankan seramai 298 nyawa.

“Beta ingin menyampaikan ucapan takziah Beta kepada seluruh ahli keluarga penumpang serta anak kapal MH17.

“Semoga Allah swt memberikan kekuatan dan ketabahan kepada mereka yang menghadapi situasi sukar ini Insya Allah,” titah Baginda.

DYMM Sultan Selangor sebelum itu menyempurnakan perasmian Masjid Kampung Sungai Serai, Kuang, Rawang yang telah siap sepenuhnya pada 15 Julai 2011.

Masjid ini mampu memuatkan 700 jemaah dalam satu masa dibina dengan kos RM3 juta hasil sumbangan wakaf seorang ‘Hamba Allah’.

Dibina di atas sebidang tanah berkeluasan 2.5 ekar, kawasan ini turut menempatkan bangunan lama masjid yang dijadikan Pusat Tahfiz Al-Quran dan Sekolah Rendah Agama Rakyat KAFA Integrasi Sungai Serai.

Masjid dengan rekabentuk moden ini mempunyai sebuah menara utama yang terletak di hadapan masjid manakala tidak mempunyai kubah seperti masjid lain.

Antara kemudahan lain yang terdapat di masjid ini adalah ruang letak kereta yang luas, stor, pejabat dan dewan serbaguna berdingin hawa yang boleh memuatkan seramai 200 orang.

Baginda turut menyampaikan sumbangan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) kepada 307 orang penerima asnaf fakir dan miskin, 150 orang untuk asnaf Mualaf dan sumbangan Aidilfitri kepada 147 orang anak yatim.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.