Categories
NASIONAL

Tragedi 13 Mei: MCA & Gerakan penakut kritik Muhyiddin

Oleh :LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 8 JULAI: Parti Gerakan dan MCA tidak ubah seperti boneka apabila sekadar mampu mengangguk bersetuju dengan amaran peristiwa berdarah 13 Mei oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guang Eng berkata, tindakan pemimpin MCA dan Gerakan itu membuktikan kedua mereka lebih mementingkan kedudukan dalam barisan kabinet hingga sanggup menggadai prinsip kepentingan rakyat, khususnya msyarakat bukan Islam.

Muhyidin“Liow Tiong Lai (Presiden MCA) dan Datuk Mah Siew Keong (Presiden Gerakan) ternyata menyokong ancaman perkauman dan ekstremis.

“Malaysia tidak ada masa depan di bawah BN apabila jawatan menteri lebih berharga daripada nilai keadilan, kebebasan dan demokrasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada 5 Julai lepas, Muhyiddin mendakwa insiden rusuhan kaum 13 Mei 1969 mampu berulang selain menyatakan kebimbangan ke atas penghinaan kepada masyarakat kaum Melayu dan Islam kebelakangan ini.

Sementara itu, Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok mendesak Muhyiddin mengemukakan bukti bagi menyokong kenyataan kononnya Islam dan Melayu kini diancam.

“Kenyataan sebegitu sebenarnya boleh mencetuskan salah faham dan kemarahan orang ramai, Muhyiddin sepatutnya lebih berhati-hati dan bertanggungjawab,” kata Teresa dalam kenyataannya.

Bagi Ahli Parlimen Padang Serai, N Surendran, kecabulan Muhyiddin ini sekali lagi membuktikan kekebalan pemimpin Umno-BN daripada undang-undang.

“Berbeza dengan pemimpin Pakatan, jika mereka kritik dasar kerajaan, terus dipanggil untuk disiasat. Kenapa tak buat perkara sama kepada Muhyiddin,” kata Surendaran sepertimana dipetik Keadilan Daily.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.