Categories
NASIONAL

Contohi Jerman bangunkan pemain muda kembalikan kegemilangan bola sepak

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 15 OGOS: Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) patut merangka pelan pembangunan pemain pelapis secara lebih konsisten dan progresif bagi pelan jangka masa panjang bagi mengembalikan kegemilangan bola sepak negara.

Bekas Pengurus Pasukan Selangor, Zakaria Abdul Rahim berkata, FAM harus menyediakan rangka pelan pembangunan untuk tempoh masa sekurang-kurangnya 15 tahun yang akan datang.

gotzeKatanya, FAM perlu mencontohi komitmen jangka panjang negara maju lain dalam pembangunan sukan, khususnya bola sepak.

“Seperti Jerman yang memenangi Piala Dunia 2014 lepas, kebanyakan pemain adalah pemain muda yang dilatih sejak kanak-kanak lagi.

“Jerman mengambil masa lama sebelum dapat menggenggam piala berkenaan. Penantian itu nyata berbaloi,” katanya kepada Selangor Kini.

Beliau dihubungi bagi mengulas kedudukan dan hala tuju bola sepak Malaysia yang kini jatuh di tangga 155 dalam ranking terbaru Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Lim Teong KhimMengulas lanjut, Zakaria turut menggesa FAM mengambil peluang menggunakan pengalaman dan kepakaran bekas penolong jurulatih pasukan bawah 19 tahun Bayern Munich, Lim Teong Kim membangun generasi pelapis bola sepak negara.

“Dia sekarang berada di sini, jadi ambil peluang ini dan minta bantuan dia mencungkil dan memperkembangkan bakat bola sepak Malaysia.

“Selain itu, pastikan juga program yang dianjurkan benar-benar bermanfaat dan dana yang diberi dibelanjakan secara bijak demi pembangunan bola sepak,” katanya lagi.

Teong Kim yang baru-baru ini dilantik sebagai Pengarah Projek Pembangunan Bola Sepak Negara juga pernah bermain di Eropah dalam pasukan Hertha BSC di Jerman pada tahun 1987.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.