Categories
SELANGOR

Isu air: Cuaca diramal lembab minggu ini

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 9 OGOS: Selangor akan mengalami hujan di beberapa tempat serta ribut petir dalam tempoh seminggu ini.

Menurut laman sesawang Jabatan Meteorologi Malaysia, hujan akan bermula 8 hingga 14 Ogos ini dengan kebanyakan hujan berserta ribut petir itu akan berlaku pada sebelah petang.

Sebelum ini, Exco Kerajaan Negeri, Dr Ahmad Yunus Hairi memaklumkan catuan air tidak akan dilaksanakan ketika ini.

Katanya, Kerajaan Negeri turut merangka rancangan jangka panjang bagi keperluan air yang semakin meningkat.

Lawatan YB Empangan Sg. Sel_3Sementara itu, cuaca kering yang sedang melanda negara sehingga menyebabkan kekurangan air di beberapa empangan dijangka terkawal berikutan cuaca diramal lebih lembab penghujung minggu ini.

Timbalan Ketua Pengarah Iklim dan Cuaca Jabatan Meteorologi Malaysia, Alui Bahari, berkata taburan hujan sudah mulai meningkat kerana hujan diramal kerap turun, namun cuaca kering masih berlaku ekoran perubahan cuaca hasil tiupan angin taufan.

“Ogos masih menunjukkan keadaan cuaca kering, namun menjelang September, cuaca mulai lembab kerana bermulanya musim tengkujuh,” katanya.

Beliau berkata, walaupun taburan hujan dijangka meningkat, namun kerja pembenihan awan tetap akan diteruskan bagi membantu meningkatkan peratusan bekalan air mentah di kawasan tadahan.

Katanya, data terkini menunjukkan petanda fenomena yang semakin lemah ketika mengulas fenomena El-Nino yang dijangka melanda Malaysia penghujung tahun ini.

“Petanda untuk dilanda El-Nino kini hanya pada tahap 50 peratus kerana taburan hujan semakin meningkat dan andai El-Nino melanda hanya pada tahap lemah,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.