Categories
SELANGOR

Lingkaran koridor hijau realisasi bandar dalam taman Petaling Jaya

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 22 OGOS: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan meneroka konsep Bandar Dalam Taman sebagai satu kaedah yang akan diadaptasi dalam perancangan pembangunannya bagi memastikan penduduk di wilayah itu menikmati kehidupan yang selamat, selesa dan sihat.

Datuk Bandarnya, Datin Paduka Alinah Ahmad, berkata MBPJ akan merealisasikan hasrat itu dibawah Pelan Tindakan Lingkaran Koridor Hijau yang mengambil kira taman awam, hutan simpan, rezab utiliti, rezab sungai dan rintisan elektrik.

Katanya, pertalian simbiotik kawasan hijau dan kawasan binaan perlu dieratkan untuk mencapai pembangunan mampan.

Tasik Aman MBPJ 01“Fungsi kawasan hijau sebagai pembekal biodiversiti, kitaran oksigen, habitat dan keselesaan manusia perlu dipelihara.

“Setiap kawasan lapang (greenbelt) dihubungkan bagi membentuk satu jaringan kawasan lapang yang dinamakan ‘Park Connectors Network’,” katanya.

Park Connectors Network adalah salah satu elemen di dalam konsep “PJ Community Green Corridor” dan ia adalah jaringan jajaran kawasan lapang yang menghubungkan taman awam utama, kawasan alam sekitar dan kawasan perumahan bagi memastikan kepentingan flora serta fauna terpelihara.

Berdasarkan laporan MURNInets atau pengukuran bandar mampan, MBPJ sudah mencapai tahap 2.4 hektar untuk 1,000 penduduk bagi penyediaan kawasan lapang.

Piawaian yang ditetapkan adalah dua hektar untuk 1,000 penduduk Park Connectors juga merangkumi guna tanah lain seperti rezab parit, foreshore dan rezab jalan, yang mana kawasan itu dijadikan tempat rekreasi cantik.

datin-alinahAlinah berkata, Park Connectors dijadikan sebagai penghubung dan memberi kemudahan kepada penduduk untuk berjogging, berjalan kaki dan berbasikal dalam jarak dua hingga 10 kilometer untuk sampai ke taman yang lain.

“Selain itu, ia juga dijadikan sebagai jalan pintas (untuk ke kawasan perumahan, stesen MRT dan sekolah,” katanya.

Pelaksanaan program Koridor Hijau itu meliputi kawasan seluas 1,555 hektar merangkumi 464 kawasan lapang dan hutan komuniti iaitu Hutan Pendidikan Bukit Gasing dan Hutan Komuniti Kota Damansara.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.