Categories
SELANGOR

MB sahkan tidak hadir Lembaga Disiplin, minta tangguh 15 Ogos

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 8 OGOS : Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengesahkan tidak akan menghadiri perbicaraan bersama Lembaga Disiplin Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang akan berlangsung petang ini berhubung beberapa isu yang dikemukakan kerana kesuntukan waktu.

Sebaliknya beliau meminta supaya sesi pendengaran itu ditangguh pada 15 Ogos depan seperti yang dimaklumkan melalui surat jawapan tunjuk sebab yang dihantar Setiausaha Politiknya, Mustafa Mohd Talib ke ibu pejabat PKR pagi tadi.

MB pc PKR hq 01“Surat sudah dihantar pada pagi ini dan oleh kerana masa sangat suntuk saya telah meminta supaya jika perlu pendengaran itu dibuat pada 15 Ogos ini.

“Saya tidak akan pergi (perbicaraan) sebab saya ada perjumpaan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Abdul Wahid Omar yang datang ke Selangor untuk membincangkan pembangunan Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyertai Majlis Menghadap Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor bersama pegawai dan kakitangan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) di Dewan Jubli Perak, hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Khalid berkata kandungan surat berkenaan juga akan didedahkan untuk perhatian umum.

Katanya, jawapan bertulis itu tidak akan menjawab secara khusus berhubung enam isu yang diajukan sebaliknya hanya satu jawapan bertulis.

Beliau turut menafikan ada membincangkan sebarang isu politik bersama Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Saya tiada berbincang apa-apa perkara politik bersama Sultan,” katanya lagi.

Antara soalan Lembaga Disiplin yang perlu dijawab Khalid adalah isu penstrukturan air Selangor, Lebuhraya Kinrara-Damansara (Kidex), penyelesaian luar mahkamah pinjaman Bank Islam, elaun baru Menteri Besar dan kenaikan cukai lesen perniagaan.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.