Categories
NASIONAL

MH17: Tony Abbott jumpa Mark Rutte esok

SHAH ALAM, 10 OGOS: Perdana Menteri Australia, Tony Abbott akan ke Belanda untuk bertemu rakan sejawatannya, Mark Rutte ketika usaha mengenal pasti identiti mayat mangsa nahas pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH17 sedang giat dijalankan.

Memetik Harakah Daily, Kerajaan Belanda sudah mengeluarkan kenyataan ringkas mengumumkan Abbott akan melawat The Hague untuk bertemu Rutte dan menandatangani buku takziah, pada 11 Ogos ini (esok).

“Sejak beberapa minggu lalu, Belanda dan Australia bekerjasama rapat bagi penghantaran pulang dan mengenal pasti semua mangsa secepat mungkin,” lapor Australian Associated Press (AAP) yang memetik kenyataan itu.

mhPada 8 Ogos lalu, AAP melaporkan pakar forensik yang bertugas di Hilversum, Netherlands sudah mengenal pasti 21 lagi mangsa MH17, selepas hanya dua mayat dikenal pasti sebelum ini membabitkan warga Belanda.

Bilangan 21 lagi mayat itu terdiri 16 warga Belanda termasuk dua yang turut memiliki kewarganegaraan Britain, dua warga Malaysia, seorang warga Jerman, Kanada dan Britain.

Misi mencari cebisan mayat di tapak nahas di timur Ukraine ditangguhkan ekoran pertempuran antara tentera Ukraine dan puak pemisah pro-Rusia.

Penerbangan MH17, membawa 298 penumpang dan anak kapal sedang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ketika ia terhempas di Donetsk, timur Ukraine berdekatan sempadan Rusia, pada 17 Julai lalu yang dipercayai ditembak jatuh.

Leave a Reply

Your email address will not be published.