Categories
SELANGOR

Pentadbiran Selangor diteruskan dengan kekuatan empat Exco PAS

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 13 OGOS: Pentadbiran Kerajaan Negeri diketuai Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan diteruskan dengan kekuatan empat ahli Exco daripada PAS termasuk kerjasama daripada penjawat awam.

Abdul Khalid berkata pihaknya kini memberi tumpuan untuk memastikan pentadbiran negeri terus berjalan dengan mantap dan cekap meskipun pelbagai kontroversi melanda Selangor.

PC EXCO MB - 13.08.2014 (11)Malah katanya situasi yang berlaku di Selangor tidak menjejaskan ekonomi negeri itu, sebaliknya ia berjalan seperti biasa.

“Buat masa ini pentadbiran Kerajaan Negeri dilakukan bersama dengan empat exco diwakili PAS dan kerjasama daripada penjawat awam untuk menentukan pentadbiran negeri berjalan dengan mantap dan cekap.

“Situasi ini juga tidak menjejaskan ekonomi negeri kerana sebentar tadi kita sudah membuat kebenaran pembukaan tanah dan menukar status daripada pertanian kepada perumahan dan komersial,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco, hari ini.

Dalam pada itu, Abdul Khalid turut memaklumkan tidak mempunyai sebarang perancangan untuk menjemput Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada Umno menyertai barisan Exco yang baru.

Katanya sebarang keputusan berhubung penambahan ahli Exco perlu mendapat perhatian dan kelulusan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Saya akan berbincang dengan ahli Exco yang bersama saya dan membuat perbincangan dengan DYMM Sultan.

“Buat masa ini perkara itu (pelantikan Exco dari Umno) tidak berbangkit,” katanya lagi.

Abdul Khalid juga berkata kerajaan sedia ada tidak mempunyai masalah untuk meneruskan pentadbirannnya kerana Adun Selangor terdiri daripada parti berlainan.

Malah katanya kerajaan Selangor bukanlah kerajaan Pakatan Rakyat (PR) kerana gabungan itu bukan badan berdaftar.

“Kita ada DAP, PAS dan PKR pun ada begitu juga Umno.

“Harus diingatkan Pakatan Rakyat juga bukanlah satu badan yang berdaftar,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.