Categories
SELANGOR

Tawaran kepada semua syarikat konsesi air adil

Oleh: AFEEQA AFEERA

KUALA LUMPUR, 11 OGOS: Tawaran pengambilalihan aset air oleh Kerajaan Selangor kepada semua syarikat konsesi dibuat secara adil dan saksama, seragam dari kaedah penilaian, tidak berat sebelah atau prejudis, kata Pegawai Tugas-tugas Khas Ekonomi dan Kewangan Menteri Besar, Azrul Azwar Ahmad Tajudin.

Kenyataan itu sekali gus menafikan dakwaan pihak tertentu bahawa tawaran kepada Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor (SPLASH) diubahsuai supaya lebih menguntungkan Puncak Niaga dan Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS).

Sambil menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak berasas, beliau berkata setiap tawaran Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) kepada semua syarikat konsesi sejak Februari tahun lalu kekal konsisten dan tidak pernah berubah.

air-syabas_MB1“Pada setiap tawaran KDEB bertarikh 20 Februari 2013, 21 November 2013 dan 26 Februari lalu, hampir semua terma serta syarat tidak berubah juga kekal konsisten termasuk nilai tawaran keseluruhan RM9.56 bilion tetap tidak berubah.

“Pampasan ekuiti yang digabungkan bagi Puncak Niaga dan SYABAS kekal RM1.55 bilion, manakala SPLASH kekal RM251 juta tidak berubah langsung.

“SPLASH sudah bersetuju secara dasar untuk menerima tawaran pada 20 Februari 2013, tetapi yang peliknya pada tawaran sama yang dibuat pada 26 Februari lalu, tiba-tiba mereka tolak walhal terma dan syarat semuanya sama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Forum Krisis Selangor : Khalid Ibrahim belot Pakatan? di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, di sini, baru-baru ini.

Forum berkenaan menampilkan ahli panel daripada Pejabat Menteri Besar Selangor iaitu Eksekutif Komunikasi, Shazni Munir Mohd Ithnin; Presiden Pakatan Anak-Anak Selangor Menyokong Menteri Besar (PASMEB), Mazli Saring dan bekas pegawai komunikasi, Nathaniel Tan.

azrul_bimbAzrul berkata, pulangan ekuiti 12 peratus tahunan yang digunapakai Kerajaan Negeri juga mengikut klausa perjanjian penswastaan air yang ditetapkan dan tidak bercanggah dengan kaedah lazim bagi mentafsir nilai saksama pampasan dalam peralihan syarikat.

Katanya, kaedah itu terpaksa digunakan kerana termaktub di dalam perjanjian untuk mengekalkan kredibiliti sebarang kontrak yang sah di sisi undang-undang.

“Adalah tidak munasabah untuk menggunakan kaedah yang tidak seragam dan tidak adil jika SPLASH diberi keistimewaan, sedangkan tiga syarikat konsesi lain menerima tawaran berdasarkan pulangan ekuiti sebanyak 12 peratus.

“Syarikat konsesi boleh bawa perkara ini ke timbang tara antarabangsa untuk menyelesaikannya tetapi kos pengambilalihan tidak akan melebihi tawaran RM9.56 bilion kerana kaedah penyelesaian melalui pulangan ekuiti 12 peratus adalah jauh lebih lumayan daripada piawaian antarabangsa pada kadar lapan peratus,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.