Categories
NASIONAL

Ayuh, himpunan warga Felda suarakan hak 11 Sept

Oleh: SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 4 SEPT : Warga Felda diseru turun beramai-ramai ke perhimpunan aman demi hak dan masa depan peneroka anak Felda jam 11 pagi bertempat di Perkarangan Suhakam pada 11 September (khamis) ini.

Ia bertujuan memudahkan Badan Bukan Kerajaan (NGO) menjadi permudahcara atau perantaraan suara peneroka dapat didengari, dipertimbangkan dan mendapat tindakan susulan sewajarnya kerajaan, terutamanya pengurusan Felda.

himpun-anakPresiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman berkata, Kerajaan BN semakin mengenepikan hak pengurusan Felda dan kepentingan para peneroka.

“Seramai 112,635 orang peneroka di 317 Tanah Rancangan Felda seluruh negara diikat perjanjian antara Peneroka dan Felda dalam menyertai Skim Felda.

“Mereka dibebani hutang piutang tidak kurang 20 tahun sebelum beroleh hak milik atas tanah kebun 10 ekar dan tapak rumah,” katanya.

Mazlan berkata peneroka yang menggunakan hak mereka mengikut saluran undang-undang dinafikan daripada mendapat Saguhati Hari Raya dan insentif FGVH.

Peneroka yang mengusahakan kebun secara persendirian tidak memperolehi lesen MPOB, manakala yang sudah memiliki, kini ditarik balik.

“Mereka yang bersuara menuntut hak dianggap tidak tahu bersyukur dan dituduh kacang lupakan kulit!

“Kakitangan Felda yang bersuara turut menerima ancaman seperti tokoh berwibawa Datuk Dzulkifli Abd Wahab dan beberapa Pegawai Felda di buang dari jawatan masing-masing,” katanya

Justeru, Himpunan Aman Diskriminasi terhadap Peneroka pada 11 September ini adalah susulan perhimpunan sebelum ini.

“Anak menjemput beberapa kedutaan asing, badan Hak Asasi PBB, media antarabangsa dan lain-lain agar perjuangan demi hak peneroka dipanjangkan suaranya ke seluruh dunia.

” Bukan memohon campur tangan asing, namun menagih simpati dari semua pihak setelah suara peneroka tidak dirai dan dihargai,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.