Categories
SELANGOR

‘Ini Cherita Kita’ 13 Sept tampil kemeriahan seni & budaya

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 10 SEPT: Orang ramai khususnya warga Shah Alam dijemput memeriahkan program kesenian dan kebudayaan bertema ‘Ini Cherita Kita’ bertempat di Laman Seni 7 di sini pada 13 September nanti.

Timbalan Pengarah Korporat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata program ini diadakan bagi memberi peluang khususnya kepada golongan anak muda untuk mengekspresikan bakat kesenian dan kreativiti dalam diri mereka.

ini_cherita_kitaKatanya, pelbagai aktiviti menarik disediakan termasuk pertandingan tarian, pementasan teater, pameran kesenian dan persembahan muzik.

“Selain itu, program ini juga merupakan antara pengisian aktiviti yang diadakan untuk mempromosikan Laman Seni 7 yang merupakan antara tarikan pelancongan baru di Shah Alam.

“Kewujudan Laman Seni 7 Shah Alam ini diharapkan dapat mewujudkan persepsi positif bahawa lorong belakang ini boleh berubah menjadi pusat tumpuan pelancongan, menggalakkan aktiviti seni dan budaya serta menyerlahkan bakat dan kreativiti orang ramai,” katanya dalam satu kenyataan.

Pembinaan Laman Seni 7 ini adalah untuk mewujudkan kawasan tarikan pelancong ke bandar raya Shah Alam melalui Program Pengindahan Lorong Belakang.

Program itu merupakan inisiatif pihak MBSA untuk mengubah suasana lorong belakang khususnya di kawasan komersial menjadi kawasan yang selamat, bersih, indah dan boleh dilawati oleh pengunjung dan serta dijadikan lokasi penganjuran sebarang aktiviti yang bermanfaat.

“MBSA memilih lorong belakang kawasan komersial Jalan Plumbum Q7/Q, Seksyen 7 untuk dijadikan Laman Seni 7 Shah Alam sebagai sebuah lokasi untuk aktiviti kesenian dan kebudayaan seperti lukisan mural, persembahan muzik jalanan (basking), jualan kraftangan dan sebagainya,” katanya lagi.

Untuk sebarang pertanyaan berhubung Program Laman Seni 7 ini, orang ramai boleh hubungi Pegawai Kebudayaan MBSA, Mohd Zulfahmee Ismail di talian 013-350 7888 atau Shahrin di talian 013-3380551.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.