Categories
KENYATAAN MEDIA

Mahasiswa kecam dakwaan Akta Hasutan terhadap Prof Azmi

Mahasiswa Keadilan mengecam dan mengutuk tindakan kerajaan yang cuba sabitkan Prof Madya Dr Azmi Sharom, pensyarah Universiti Malaya dengan Akta Hasutan berkenaan pandangan peribadi ke atas isu MB Selangor.

Kita jelas itu hanya pandangan sahaja dari seorang ahli akademik berkelas tinggi. Selain itu, pemimpin parti politik juga tidak berkecuali di mana beberapa pemimpin Pakatan Rakyat turut disabitkan dibawah Akta Hasutan ialah YB N Surendran Ahli Parlimen Padang Serai, YB Rafizi Ramli Ahli Parlimen Pandan dan YB Rayer ADUN Seri Delima.

Mahasiswa Keadilan konsisten dan istiqamah dalam menuntut kerajaan pimpinan Dato Seri Najib Abdul Razak menunaikan janji beliau yang ingin menghapuskan Akta Hasutan bertarikh pada 11 Julai 2012.

Kerajaan wajar menunaikan seperti yang dijanjikan kerana penerimaan rakyat terhadap janji kerajaan ini disambut baik oleh semua lapisan masyarakat dari pelbagai perbezaan ideologi politik.

Setiap rakyat Malaysia mempunyai kebebasan untuk bercakap, berhimpun dan menubuhkan persatuan seperti yang termaktub di dalam “Artikel 10” Perlembagaan Persekutuan. Kenyataan Prof Madya Dr Azmi Sharom jelas mengikut peruntukan Artikel 10 dan tidak menyalahi mana-mana perlembagaan negara dibawah peruntukan Artikel 10.

Mahasiswa Keadilan mendesak dan menuntut agar kerajaan tidak menggunakan Akta Hasutan sebagai medium untuk membalas dendam dan menindas mereka yang tidak sehaluan dengan ideologi-ideologi kerajaan.

Mahasiswa Keadilan menuntut agar kerajaan menghormati apa yang termaktub di dalam Artikel 10 Perlembagaan Negara. Sebuah kerajaan wajib menghormati Perlembagaan Negara yang telah tertulis walaupun barisan pimpinan yang selepasnya bersilih-ganti.

Akta Hasutan jelas sebuah akta yang menindas rakyat dan sebagai medium akhir untuk menyekat kemaraan seteru politik yang tidak sehaluan dengan kerajaan. Hal ini mendorong kepada satu situasi politik yang tidak sihat dan jumud.

Mahasiswa Keadilan sekali lagi mendesak agar Akta Hasutan ini dimansuhkan oleh kerajaan kerana ia menyalahi amalan demokrasi dan bertentangan dengan hak kebebasan yang telah diperuntukkan dalam Perlembagaan.

Haziq Abdul Aziz
Presiden Mahasiswa KEADILAN

Leave a Reply

Your email address will not be published.