Categories
NASIONAL

Mangsa tembakan polis guna pampasan RM318,326 untuk buka perniagaan

Oleh Afix Redzuan

SHAH ALAM, 5 SEPT: Selepas lima tahun turun naik mahkamah bagi membersihkan namanya, Norizan Salleh yang menjadi mangsa tembakan bertubi-tubi polis, mahu memberi tumpuan kepada keluarga.

Beliau yang berusia 34 tahun mahu berbuat demikian berikutan sudah kembali mendirikan rumah tangga dua tahun lalu dan dikurniakan seorang lagi anak.

“Saya bukan orang senang. Dulu masa saya ibu tunggal dengan anak sorang dan tidak boleh bekerja, duit itu saya fikirkan untuk buat permulaan perniagaan.

“Tapi sekarang apabila sudah kahwin dan ada bayi, anak menjadi keutamaan. Tapi, saya juga bercadang memulakan perniagaan untuk membantu suami,” katanya kepada Selangor Kini.

Norizan, suri rumah sepenuh masa memperoleh kemenangan apabila Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Hue Siew Kheng memerintahkan ganti rugi RM318,326 dibayar kepadanya atas dakwaan kecuaian polis.

Beliau membuat tuntutan saman terhadap tiga anggota polis dan kerajaan Malaysia atas dakwaan cuai sehingga menyebabkannya terkena berdas-das tembakan pada Oktober 2009.

Sepanjang proses mahkamah, ibu kepada empat anak itu diwakili peguam bela, N Surendran dan Latheefa Koya.

Norizan turut menasihati mana-mana pihak yang berdepan kejadian sama supaya tampil bagi menegakkan kebenaran jika tidak bersalah.

“Tidak perlu takut , tak payah teragak-agak. Kalau rasa betul, tidak buat kesalahan, pergi tegakkan keadilan untuk diri sendiri.

“Tiada siapa akan larang. Kena berani, kita bukannya pesalah kalau kita tidak membuat salah. Kita kena tunjukkan yang kita tidak bersalah,” katanya.

Pada 30 Oktober 2009, kereta yang dinaiki Norizan bersama tiga kenalannya di Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2) diekori peronda polis yang kemudian melepaskan tembakan.

Tembakan bertubi-tubi itu menyebabkan beliau cedera teruk dan terpaksa dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Beliau juga terpaksa menjalani pembedahan selama empat hari serta dirujuk ke Institut Jantung Negara (IJN) selama sembilan hari.

– FZL

Leave a Reply

Your email address will not be published.