Categories
NASIONAL

Pemuda PR: Akta Hasutan tinggalan penjajah tak patut diguna

Oleh: AFEEQA AFEERA

PUTRAJAYA, 11 SEPT: Pemuda Pakatan Rakyat (PR) hari ini menyerahkan memorandum kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyatakan kebimbangan mereka berhubung perkembangan terkini penggunaan Akta Hasutan 1948 yang kian berleluasa terhadap individu tertentu.

Memorandum itu ditandatangani secara bersama oleh Ketua Angkatan Muda PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad; Ketua Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kayat dan Ketua Pemuda DAP, Teo Kok Seong.

BxOMwm8CYAAukj5Antara kandungannya adalah mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya menunaikan janjinya untuk memansuhkan Akta Hasutan dalam semangat Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kebebasan bersuara dan mengeluarkan fikiran.

Mereka juga menuntut supaya kerajaan pusat menghentikan serta merta pendakwaan di bawah akta ini yang mensasarkan sejumlah besar pimpinan tertinggi PR, ahli akademik, anak muda dan aktivis awam

“Kerajaan juga perlu menghormati hak rakyat untuk mengkritik, memberi pandangan serta menyampaikan hasrat tanpa rasa takut diancam oleh akta berkenaan,” katanya.

Memorandum itu antara lain turut menyatakan bahawa akta berkenaan yang ditinggalkan kolonial dan berkuatkuasa sebelum kemerdekaan Tanah Melayu kini digunakan pihak kerajaan terhadap tentangan politik.

Katanya undang-undang itu tidak lagi wajar digunakan kerana ia ternyata sudah lapuk.

“Undang-undang yang menjamin keadilan tidak wajar lagi menjenayahkan percakapan dan buah fikiran.

“Adakah ia sesuatu yang munasabah untuk menjadikan kritikan terhadap pemerintah sebagai satu jenayah?” katanya memorandum itu.

EZY

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.