Categories
SELANGOR

Taklimat “Pepulau” beri pencerahan pemilik premis

KLANG, 6 SEPT : Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengambil langkah proaktif dengan menganjurkan taklimat khas bagi memberi pencerahan kepada pemilik premis berkaitan larangan pembinaan struktur (pepulau) yang didirikan di atas tanah kerajaan untuk tujuan perniagaan.

Taklimat yang dihadiri kira-kira 80 pemilik premis di sekitar Klang Selatan itu bertujuan menerangkan secara jelas berkaitan pepulau dan siar kaki premis perniagaan yang disalahgunakan untuk tujuan perniagaan.

TAKLIMAT 1Pengarah Jabatan Korporat dan Kemasyarakatan MPK, Zaireezal Ahmad Zainudin, berkata pembinaan pepulau yang bersifat kekal itu adalah dilarang dan tidak mendapat kelulusan MPK kerana ia didirikan di atas tanah rezab kerajaan.

“Pihak Majlis juga menerima banyak aduan tentang struktur berkenaan antaranya menghalang laluan pejalan kaki dan pandangan pemandu yang berada di persimpangan.

“Justeru Majlis mengambil tindakan untuk merobohkan mana-mana struktur yang dibina tanpa kelulusan mengikut Seksyen 46 atau Seksyen 69,Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya sesi taklimat seterusnya akan diadakan pada 11 September ini bagi pemilik premis di sekitar Klang Utara.

Selain itu, katanya MPK turut mengeluarkan notis awal yang disampaikan kepada pemilik premis pada 4 Ogos lalu selain notis peringatan pematuhan pada 28 Ogos yang akan berakhir pada 30 September ini.

“Walaubagaimanapun pemilik diberi peluang supaya membuat pembetulan di tapak termasuk meroboh dan memulihkan tapak seperti asal.

“Mereka juga perlu membuat permohonan kelulusan pelan bangunan bagi ubahsuai mengikut garis panduan dan peruntukan Akta 133 sebelum sokongan pembaharuan lesen perniagaan dipertimbangkan oleh Jabatan Pelesenan,” katanya lagi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.