Categories
NASIONAL

Anwar: “Jangan bagi jiwa raga jadi alat haram untuk zalimi sesiapa”

Oleh: AFIX REDZUAN

KLANG, 21 OKT: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berpendirian supaya mereka yang difitnah tanpa bukti dan fakta jelas harus dipertahankan.

Walaupun tidak mengetahui nasib yang bakal menimpa dirinya yang berhadapan tuduhan Kes Fitnah II, namun Anwar dilihat tenang dan redha dengan segala keputusan yang bakal ditakdirkan kepadanya.

“Ini bukan soal Anwar. Kalau bapa kamu dihantar ke penjara macam mana, kalau dia tidak salah.

“Kamu mahu pertahankan? Kamu mesti fikir. Sakarang diri Anwar, jangan lupa kamu lakukan dan dukung kezaliman, lain kali ia akan menimpa kamu.

anwar“Mungkin nasib saya minggu hadapan ke penjara. Saya redha. Saya nak nasihatkan anak-anak mencari makan, betul tiada salahnya.

“Tetapi jangan bagi jiwa raga sebagai alat yang haram untuk zalim kepada sesiapa baik Anwar, Muniyandi dan Ah Chong. Mudah-mudahan Allah berikan kekuatan kepada kita,” katanya di sini, hari ini..

Katanya, jika takut sudah pastinya beliau tidak akan pulang ke Malaysia bagi mendengar sendiri keputusan berkenaan.

“Apa yang nak doakan saya masuk penjara? Ikut undang-undanglah.

“Kalau saya takut undang-undang saya tak balik Malaysia. Apa sebab tidak berjaya? Fakta tiada, tiada bukti, dia nak guna alasan apa?

“Alasan Pilihan Raya Kajang? Dah lepas. Mahkamah Rayuan guna Pilihan Raya Kajang,” katanya.

Walaupun ditohmah kerana cuba meraih sokongan antarabangsa, namun beliau menegaskan tindakan berkenaan bukan menunjukkan dirinya takut untuk sekali lagi berhadapan situasi berkenaan minggu hadapan.

anwar mahkamah (2m)Secara sinis, beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri pernah meminta sokongan antarabangsa berhubung masalah berkenaan negara.

“Apa Najib tidak pernah minta pertolongan Barack Obama untuk beberapa isu kita? Isunya, orang pertahankan prinsip kebebasan, demokrasi dan negara. Ini kita bicara di mana sahaja.

“Kalau BBC tanya dan baru-baru ini The Telegraph tanya, saya jawab. Orang yang mendukung prinsip ini akan pertahankannya di mana sahaja.

“Sebab apa kita sokong Gaza? Sebab ketidakadilan rejim Israel. Sebab apa kita suarakan nasib Rohingya, kerana kezaliman yang dilakukan terhadap mereka.

“Jadi pandangan kita konsisten. Jangan kita pertahankan kezaliman di sini dan bicara soal keadilan di luar,” katanya.

Sebelum ini, PKR melancarkan kempen #RakyatHakimNegara sebagai tanda solidariti terhadap kezaliman yang menimpa Ketua Pembangkang itu.

Anwar kini sedang menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan atas pertuduhan Fitnah II yang bakal diketahui 28 dan 29 Oktober ini di Mahkamah Putrajaya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.