Categories
KENYATAAN MEDIA

Geramm seru pengamal media sertai “Walk for Peace and Freedom” bantah Akta Hasutan

Oleh: SEKRETARIAT GERAMM
Selaras dengan sokongan kami terhadap tuntutan agar kerajaan memansuhkan Akta Hasutan 1948, Geramm mengajak pengamal media turut berarak bersama-sama Badan Peguam Malaysia (Malaysian Bar) pada Khamis ini (16 Oktober) bagi menyuarakan bantahan terhadap undang-undang yang telah disalahguna bagi menyekat kebebasan bersuara secara am dan kebebasan media secara khususnya.
Memetik kenyataan presiden Badan Peguam Malaysia Christopher Leong, perhimpunan yang dikenali sebagai “Walk for Peace and Freedom” itu merupakan protes keempat seumpamanya dalam tempoh 67 tahun penubuhan organisasi profesional tersebut dan akan bermula di tapak letak kereta Padang Merbok, berhampiran bangunan Parlimen.
Perhimpunan bakal bermula pada kira-kira jam 10.30 pagi sebelum para peserta berjalan menuju ke arah bangunan Parlimen, di mana wakil dari Badan Peguam Malaysia dijangka akan menyerahkan memorandum bantahan kepada wakil kerajaan Malaysia.
Penyertaan Geramm merupakan susulan dari pertemuan wakilnya dan Institute of Journalist Malaysia bersama Datuk Tengku Sariffuddin Tengku Ahmad, setiausaha akhbar perdana menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak, bagi menyerahkan petisyen mengandungi lebih seratus tandatangan pengamal media yang membantah Akta Hasutan.
Merujuk siasatan ke atas wartawan kanan Malaysiakini Susan Loone, Geramm menegaskan pendiriannya bahawa terdapat banyak “kekaburan” di dalam peruntukan di bawah Akta Hasutan yang boleh digunakan untuk menakutkan mana-mana individu dari bersuara.
Pihak berkuasa juga digesa menyiasat dengan profesional pengamal media apabila berita atau artikel yang diterbitkan menjadi fokus siasatan.
Geramm dengan ini menyeru semua pengamal media yang turut membantah penggunaan Akta Hasutan agar bersama-bersama berhimpun dan menuntut agar pihak kerajaan memenuhi janji untuk melaksanakan reformasi undang-undang serta menjamin hak kebebasan bersuara bagi semua rakyat Malaysia.
GERAM ialah perikatan longgar wartawan, wakil media dan aktivis tempatan yang memperjuang kebebasan media dan pengamalnya.
Untuk sebarang pertanyaan, hubungi Fazallah Pit melalui 019-3759767 atau Alyaa 012-3596240

Leave a Reply

Your email address will not be published.