Categories
AGENDA NASIONAL

Geramm minta kurangkan risiko jangkitan Covid-19 dalam kalangan media

KUALA LUMPUR, 15 JAN: Gerakan Media Merdeka (Geramm) meminta kerjasama semua pihak termasuk agensi kerajaan dan pemimpin politik agar mempertimbangkan sama ada perlu atau tidak mengadakan sidang media secara fizikal sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Geramm dalam kenyataan hari ini berkata langkah itu berikutan perkembangan terkini kes positif Covid-19 melibatkan beberapa menteri, ahli parlimen, ahli dewan undangan negeri (ADUN) dan pengiring mereka yang secara tidak langsung mendedahkan pengamal media kepada risiko menjadi kontak rapat atau kontak kedua.

“Sebagai ganti, pegawai bertugas boleh menyalurkan maklumat dalam bentuk kenyataan media, live stream, video, foto atau audio mengikut keperluan masing-masing.

“Perlu ditegaskan ini tidak bermakna maklumat harus dikongsi dalam bentuk format berita untuk siaran, kerana setiap organisasi media berhak menentukan sudut berita masing-masing,” menurutnya dalam kenyataan itu hari ini.

Memahami laporan media tidak boleh bersifat sehala, Geramm turut memohon kerjasama pihak berkaitan termasuk barisan jemaah menteri supaya membuka luas ruang buat pengamal media meminta penjelasan atau komen mengenai sesuatu isu, tanpa perlu bertemu secara langsung di sidang media.

“Kami menyambut baik apa-apa langkah yang diambil bagi menjamin kebajikan pekerja, selain terus berusaha untuk tetap menghasilkan laporan yang terbaik, selari dengan prinsip kebebasan media yang dijunjung,” menurut kenyataan itu.

– BERNAMA

 

Categories
AGENDA NASIONAL

Geramm protes halangan media buat liputan sidang Parlimen 18 Mei

SHAH ALAM, 9 MEI: Speaker Dewan Rakyat digesa mempertimbangkan semula arahan yang mengehadkan hanya agensi media rasmi kerajaan boleh membuat liputan sidang Parlimen pada 18 Mei ini.

Gerakan Media Merdeka (Geramm) dalam kenyataan hari ini berasa terkejut dan kecewa dengan arahan yang hanya membenarkan Radio Televisyen Malaysia dan Bernama membuat liputan.

“Kami ingin memohon pertimbangan agar arahan tersebut ditarik balik dan semua agensi media dibenarkan untuk berada di Parlimen bagi membuat liputan kerana kami percaya tiada keperluan larangan sedemikian dikeluarkan,” katanya di Facebook.

Geramm turut kesal dengan alasan Dewan Rakyat bahawa langkah itu bagi mencegah penularan Covid-19 walaupun Perintah Kawalan Pergerakan dijangka tamat sebelum sidang Parlimen bermula.

“Geramm tegas dengan pendirian untuk menolak norma baharu yang semakin menyempitkan ruang kebebasan media Malaysia,” kata kenyataan itu yang turut menegaskan tontonan melalui siaran langsung tidak mencukupi bagi menghasilkan berita yang tepat dan berimbang.

Categories
NASIONAL

Geramm: Media bukan musuh parti politik

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 6 SEPT: Kumpulan wartawan Gerakan Media Merdeka (Geramm) membidas dakwaan serangan terhadap pemilik sebuah akhbar harian berbahasa Tamil dan ketua pengarangnya oleh sekumpulan anggota Pemuda MIC.

Menerusi kenyataan Geramm berkata kekerasan fizikal terhadap agensi berita adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

“Sebarang rasa tidak puas hati seharusnya disampaikan melalui saluran yang betul, sama ada menggunakan ‘right of response’ (hak menjawab) ataupun melalui saluran undang-undang,” katanya.

Menurutnya, harus diingat bahawa media mempunyai ruang dan peranan dalam demokrasi untuk menjalankan tugas secara bebas tanpa rasa takut kepada mana-mana parti.

GERAAM“Tekanan oleh parti politik ke atas media, terutama jika melibatkan kekerasan fizikal, adalah sama sekali tidak boleh diterima.

“Media bukan musuh kepada parti politik tetapi bukan juga rakan kongsi yang boleh dibeli atau dibuli,” katanya.

Semalam anggota Pemuda MIC didakwa berkumpul di pejabat akhbar Tamil Malar di Kuala Lumpur sebagai bantahan terhadap akhbar itu yang dikatakan berat sebelah dan memihak pembangkang.
Berikut adalah kenyataan media penuh:

https://selangorkini.my/2017/09/geramm-mengecam-serangan-keatas-pejabat-akhbar-tamil-malar/

=EZY=

Categories
KENYATAAN MEDIA

Geramm mengecam serangan ke atas pejabat akhbar Tamil Malar

Gerakan Media Merdeka (Geramm) mengecam insiden serangan ke atas pejabat akhbar Tamil Malar di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, dipercayai melibatkan sekumpulan ahli Pemuda MIC.

Memetik laporan Malaysiakini, kumpulan tersebut hadir membantah laporan akhbar berbahasa Tamil berkenaan yang didakwa “pro-pembangkang”.

Dalam insiden tersebut, wartawan Tamil Malar C Christ mendakwa pemilik akhbar Oms Thiagaran dan ketua pengarang Saraswathy Kandasamy telah cedera diserang sekumpulan pemuda.

Turut berada ditempat kejadian adalah Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk M Saravanan yang dipetik oleh Malaysiakini sebagai menafikan dakwaan bahawa ahli Pemuda MIC telah datang untuk sengaja menyerang petugas media.

Tamil MalarDalam satu kenyataan, ahli parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran mendakwa insiden serangan terbabit berpunca dari rasa tidak puas hati terhadap laporan akhbar Tamil Malar yang melibatkan tuduhan keatas Saravanan sebagai ketua MIC Wilayah Persekutuan.

Lebih malang, dipercayai insiden hari ini merupakan susulan dua lagi insiden serangan keatas petugas media dari Tamil Malar bulan lalu, yang turut melibatkan laporan didakwa memburukkan pemimpin MIC.

Geramm dengan ini mengecam tindakan mana-mana individu yang menggunakan kekerasan untuk menyuarakan bantahan terhadap sebarang laporan media.

Sebarang rasa tidak puas hati seharusnya disampaikan melalui saluran yang betul, samaada menggunakan “right of response” (hak menjawab) ataupun melalui saluran undang-undang.

Harus diingat bahawa media mempunyai ruang dan peranan dalam demokrasi untuk menjalankan tugas secara bebas tanpa rasa takut kepada mana-mana parti.

Tekanan oleh parti politik keatas media, terutama jika melibatkan kekerasan fizikal, adalah sama sekali tidak boleh diterima.

Media bukan musuh kepada parti politik tetapi bukan juga rakan kongsi yang boleh dibeli atau dibuli.

Dalam kesempatan ini, Geramm turut ingin menyeru rakan-rakan dari media vernakular Tamil dan Cina untuk sama-sama bersolidariti menentang individu atau parti yang hanya menggunakan media untuk kepentingan peribadi mereka.

Insiden kekerasan terhadap petugas media tidak seharusnya dibenarkan untuk terus berulang tanpa perhatian atau siasatan pihak berwajib.

 

* Geramm adalah perikatan longgar wartawan, wakil dan aktivis media yang memperjuangkan kebebasan media dan pengamalnya.

Categories
NASIONAL

Kumpulan wartawan dan media bidas serangan terhadap Tamil Malar

SHAH ALAM 6 SEPT: Dua kumpulan media dan wartawan membidas dakwaan serangan terhadap pemilik sebuah akhbar harian berbahasa Tamil dan ketua pengarangnya oleh sekumpulan anggota Pemuda MIC.

Gerakan Media Merdeka (Geramm) dan Institut Wartawan Malaysia (IOJ) berkata kekerasan fizikal terhadap agensi berita adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

“Sebarang rasa tidak puas hati seharusnya disampaikan melalui saluran yang betul, sama ada menggunakan “right of response” (hak menjawab) ataupun melalui saluran undang-undang,” kata Geramm dalam satu kenyataan.

Menurut kumpulan wartawan dan media itu, harus diingat bahawa media mempunyai ruang dan peranan dalam demokrasi untuk menjalankan tugas secara bebas tanpa rasa takut kepada mana-mana parti.

GERAAM“Media bukan musuh kepada parti politik tetapi bukan juga rakan kongsi yang boleh dibeli atau dibuli,” katanya.

Semalam, anggota Pemuda MIC didakwa berkumpul di pejabat akhbar Tamil Malar di Kuala Lumpur sebagai bantahan terhadap akhbar itu yang dikatakan berat sebelah dan memihak pembangkang.

Bagaimanapun, pergelutan kemudiannya tercetus dengan wartawan C Christ mendakwa pemilik akhbar itu OMS Thiagaran dan ketua editor eksekutif Saraswathy Kandasamy diserang dan cedera.

Berada di tempat kejadian itu adalah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk M Saravanan yang menafikan kejadian seumpama itu.

SUMBER: MALAYSIAKINI

=EZY=

Categories
BERITA UTAMA

Hari Kebebasan Media: Bebaskah Media Malaysia?

OLEH: GERAKAN MEDIA MARAH

Setiap tahun pada hari ini (3 Mei), kita memperingati Hari Kebebasan Akhbar Dunia.

Sepanjang tahun lepas, pengamal media serta rakyat Malaysia terus diingatkan bahawa ruang kebebasan akhbar semakin sempit.

Sekatan ke atas akhbar The Edge dan The Malaysian Insider serta beberapa media atas talian secara langsung telah ‘menyempitkan’ ruang pengamal media untuk menjalankan tugas.

Selain itu, pengamal media turut terus dihadapkan dengan gangguan pihak berkuasa atau golongan yang merasakan kekuasaan mereka terancam akibat laporan yang disiarkan.

gerammDalam masa sebulan terakhir ini, berlaku kes-kes yang membayangkan tahun ini bakal menjadi satu lagi tahun yang sukar.

Ini termasuk gangguan terhadap wartawan Malaysiakini Kow Gah Chie, insiden wartawan dihalau oleh calon pilihan raya di Sibu serta gangguan terhadap pengarang The Heat yang dipanggil kerana menulis artikel berkaitan sebuah gerakan politik.

Bebas bersuara, berfikir

Selain itu, laporan ranking kebebasan Media oleh Wartawan Tanpa Sempadan (RSF) turut menunjukkan bahawa tahap kesedaran dan kebebasan kewartawanan kita dalam keadaan yang tidak meyakinkan.

Gerakan Media Marah (GERAMM) percaya bahawa sudah sampai masa untuk semua pengamal media bersatu atas tujuan yang sama – mempertahankan hak untuk menjalankan tugas yang diamanahkan.

Setiap bentuk tekanan atau gangguan yang dikenakan ke atas mana-mana pengamal media seharusnya dirasakan oleh semua.

GERAMM juga percaya bahawa media bebas hanya boleh berdiri daripada semangat masyarakat yang turut sama mahukan kebebasan.

Media tidak mungkin bebas tanpa semangat kebebasan ini: bebas bersuara dan bebas berfikir.

Dengan adanya masyarakat yang menghargai serta menuntut peranan media bebas, pemilik serta pengamal media secara langsung akan berusaha untuk memenuhi permintaan tersebut.

Semangat masyarakat

Ringkasnya, media itu bebas bukan karena kerana semangat wartawan sendirian tetapi ditopang semangat menyala-nyala masyarakatnya.

Sempena sambutan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia setiap 3 Mei, GERAMM menyeru semua pihak agar menghormati hak-hak masyarakat dan wartawan untuk menghayati semangat ini.

Semangat ini boleh menyuburkan kepelbagaian suara dalam masyarakat kita dan boleh juga membuka rundingan serta perbahasan dalam masyarakat yang berbeza-beza kepentingan.

Dengan sikap masyarakat sivil, media, kerajaan dan masyarakat, GERAMM percaya media bebas yang beretika dan bertanggungjawab bukan saja boleh memajukan demokrasi dan politik, tetapi juga pembangunan fikiran, seni, ekonomi dan peradaban bangsa.

Setelah tiga tahun GERAMM muncul dari kegusaran dari industri media terhadap kekangan, sekatan dan tindakan memperkotak-katikKan petugas media, namun keadaan bukan saja tidak berubah, malah semakin meruncing.

Selaras dengan semangat untuk terus menuntut perubahan, kami turut akan melancarkan ‘wajah baru’ GERAMM dalam satu acara yang akan diumumkan pada waktu terdekat.

Kami berharap agar penyokong dan pendukung kebebasan media dapat bersama kami seperti selama ini.

* GERAKAN MEDIA MARAH (GERAMM) adalah perikatan longgar wartawan, wakil dan aktivis media yang memperjuangkan kebebasan media dan pengamalnya.

Categories
NASIONAL

GERAMM gesa gubal akta lindungi pemberi maklumat

SHAH ALAM 7 FEB: GERAMM menggesa Peguam Negara, kerajaan dan penggubal undang-undang untuk menggubal akta pemberi maklumat yang dapat melindungi wartawan dan sumbernya melaporkan hal sebenar kepada orang ramai.

GERAMM dalam kenyataan medianya berkata tindakan mengancam media yang hanya menjalankan tugas melaporkan isu berkaitan kepentingan awam adalah tidak wajar sama sekali.

geramm1622757_639867469405812_2095588228_nKatanya, penggunaan sumber rahsia oleh media bukan untuk mensabotaj kerajaan tetapi demi mencari kebenaran dalam sesuatu perkara, dan mempertanggungjawabkan kerajaan pada pihak awam.

“GERAMM khuatir dengan cadangan Peguam Negara Tan Sri Apandi Ali untuk menguatkan akta lapuk Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA), apatah lagi apabila beliau seolah-olah mensasarkan media dan wartawan dalam kenyataannya itu,” kata GERAMM.

Katanya, etika kewartawanan juga menyatakan bahawa penggunaan sumber tidak dinamakan perlu dipertahankan selagi maklumat diperolehi disahkan.

“Kod etika Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) juga menyatakan yang wartawan “akan mempertahankan sumber berita yang diperolehi secara rahsia”,” katanya.

GERAMM mengecam ‘ugutan’ Peguam Negara terhadap amalan kewartawanan kerana ia mengancam amalan kewartawanan yang beretika di negara ini dan terus menyekat hak orang ramai untuk mendapat maklumat.

EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA

GERAMM: Hormati tugas media semasa BERSIH 4.0

Perhimpunan Bersih 4 yang dijadualkan pada Sabtu dan Ahad ini dijangka berlangsung secara besar-besaran, dengan wartawan daripada pelbagai organisasi media dijangka membuat liputan.

Perhimpunan Bersih 3 dua tahun lalu menyaksikan sejumlah wartawan daripada beberapa media menjadi sasaran belasahan pihak berkuasa dan juga peserta.

Justeru Geramm ingin mengingatkan semua pihak yang terlibat agar menghormati kakitangan media yang turut ke lapangan menjalankan tugas.

Kedua-dua pihak sepatutnya dapat mengenalpasti kakitangan media dengan mudah, memandangkan mereka memakai pas media dan pakaian yang berkaitan, serta membawa peralatan media seperti kamera.

Geramm berharap insiden yang berlaku pada perhimpunan Bersih sebelumnya tidak akan berulang.

Kepada kakitangan media yang bertugas, Geramm ingin mengucapkan selamat maju jaya dalam menjalantkan tugas memberi maklumat kepada orang ramai tentang apa yang berlaku, tanpa rasa takut dan pilih kasih.

Selain itu, Geramm juga ingin mengecam keputusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyekat akses ke laman yang “mempromosi, menyebarkan maklumat dan menggalakkan orang ramai untuk menyertai perhimpunan Bersih 4”.

Notis yang disiarkan di laman Facebook SKMM menyatakan keputusan itu dibuat dengan alasan laman-laman ini “mengancam kestabilan negara”.

Akan tetapi Geramm melihat langkah terbaru ini sekadar satu lagi usaha kerajaan mengekang hak rakyat untuk bersuara dan mendapatkan maklumat.

GERAMM ialah perikatan longgar wartawan, wakil media dan aktivis tempatan yang memperjuang kebebasan media dan pengamalnya.

GERAMM kecam penggantungan The Edge

Geramm melihat penggantungan The Edge usaha pemerintah untuk menekan media yang membawa isu-isu berkepentingan awam yang tidak akan diketahui umum sekiranya tidak dibongkarkan.

Categories
KENYATAAN MEDIA

GERAMM kecam wartawan diserang dalam kekecohan Plaza Low Yat

Gerakan Media Marah (GERAMM) memandang serius insiden pengamal-pengamal media tercedera semasa kekecohan yang berlaku berdekatan Low Yat Plaza di Bukit Bintang, Kuala Lumpur malam tadi.

Walau kami masih mendapatkan maklumat lebih tepat berhubung insiden tersebut, beberapa orang wartawan dilaporkan tercedera; sekurang-kurangnya dua memerlukan rawatan perubatan.

geramm1622757_639867469405812_2095588228_nMerujuk kekerasan ke atas pengamal media, GERAMM mengecam sekeras-kerasnya serangan itu. Kami juga mengingatkan semua bahawa keganasan bukan tindakan sesuai dalam apa jua keadaan.

Penting ditegaskan di sini, pengamal media berada di tempat kejadian untuk berkhidmat bagi kepentingan awam dan tidak wajar mereka dijadikan sasaran pihak-pihak tidak bertanggungjawab.

GERAMM turut merakamkan penghargaan kepada pihak polis kerana bertindak mengawal keadaan. Kami berharap tindakan tegas diambil terhadap pelaku-pelaku keganasan ini.

Secara amnya, GERAMM mengecam tindakan individu-individu yang menimbulkan kekecohan dan mereka yang menggunakan insiden tersebut untuk mengapi-apikan sentimen perkauman yang boleh merosakkan perpaduan masyarakat.

GERAMM menyeru semua pihak agar bertenang dan membenarkan polis menjalankan tugas mengikut lunas undang-undang.

Kami ingin menyeru semua pihak, termasuk wartawan, agar tidak menyebarkan khabar angin yang boleh memburukkan lagi keadaan.

GERAMM benar-benar berharap kepada semua media agar berpegang teguh pada etika kewartawanan dalam menjalankan tugas, khususnya dalam melaporkan isu-isu hubungan kaum.

Tugas kita, seperti lazimnya, melaporkan fakta serta membantu memberi maklumat tepat, objektif dan telus kepada semua pihak.

GERAMM merakamkan terima kasih kepada semua petugas media yang berada di lokasi kejadian malam tadi kerana bersikap profesional dan juga sedia membantu rakan-rakan wartawan yang diserang.

 

Categories
KENYATAAN MEDIA

GERAMM bantah ancaman kasari wartawan

Geramm merujuk kejadian ancaman perwakilan Pemuda PAS kepada Wartawan The Malaysian Insider, Mohd Farhan Darwis pada muktamar di Shah Alam semalam.

Jika pemuda PAS ada masalah atau membantah sesebuah berita, mereka harus menyatakannya secara formal kepada agensi berita terbabit.

geramm1622757_639867469405812_2095588228_nPemuda PAS juga boleh menggunakan saluran perundangan jika berasakan sesebuah berita itu berunsur fitnah.

Namun, Geramm membantah keras ancaman untuk mengasari wartawan dalam apa jua cara bentuk fizikal.

GERAMM ialah perikatan longgar wartawan, wakil media dan aktivis tempatan yang memperjuang kebebasan media dan pengamalnya.

Sila lawat laman Facebook GERAMM di www.facebook.com/GerakanMediaMarah

Categories
KENYATAAN MEDIA

GERAMM: Hormati wartawan, kebebasan media & hak rakyat

Media bebas berdiri daripada semangat masyarakat yang meronta-ronta mahukan kebebasan.

Media tidak mungkin bebas tanpa semangat kebebasan ini: bebas bersuara dan bebas berfikir.

Semangat ini diwakili oleh kumpulan wartawan tetapi mendapat sokongan kuat masyarakat yang:

geramm1622757_639867469405812_2095588228_n(1) mempertahankan ruang ini apabila ditekan oleh kumpulan berpengaruh atau kerajaan;

(2) menyuburkan ruang ini dengan idea, tulisan dan maklum balas untuk memajukan media agar lebih terus wibawa dan majmuk;

(3) menegur dan mengkritik media serta pengamalnya yang tidak mewakili suara-suara masyarakat dan kepentingan-kepentingan ramai.

Ringkasnya, media itu bebas bukan kerana semangat wartawan sendirian tetapi ditopang semangat menyala-nyala daripada masyarakatnya.

Sempena sambutan Hari Kebebasan Akhbar Sedunia setiap 3 Mei , Gerakan Media Marah (GERAMM) menyeru semua pihak agar menghormati hak-hak masyarakat dan wartawan untuk menghayati semangat ini.

Semangat ini boleh menyuburkan kepelbagaian suara dalam masyarakat kita dan boleh juga membuka rundingan serta perbahasan dalam masyarakat yang berbeza-beza kepentingan mereka.

Dengan sikap sivil media, kerajaan dan masyarakat, GERAMM percaya media bebas yang beretika dan bertanggungjawab bukan saja boleh memajukan demokrasi dan politik, tetapi juga pembangunan fikiran, seni, ekonomi dan peradaban bangsa.

Geramm ialah perikatan longgar wartawan, wakil media dan aktivis tempatan yang memperjuang kebebasan media dan pengamalnya.

Oleh: GERAMM