Categories
SELANGOR

Huffaz perlu dalami ilmu tajwid, martabat ilmu al-Quran

SHAH ALAM, 21 OKT: Golongan huffaz diseru mendalami ilmu tajwid dan taranum dalam mempertingkatkan mutu hafalan mereka, sekali gus memartabatkan ilmu al-Quran diposisi yang lebih membanggakan.

Ketua Penolong Pengarah Dakwah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Mohd Basori Umar berkata, usaha itu perlu dilakukan setiap huffaz dari masa ke masa supaya kebolehan mereka dapat ditingkatkan.

“Kita berharap para huffaz dapat menpertingkatkan mutu hafazan mereka sebagaimana inisiatif yang dilakukan Kerajaan Negeri menerusi program Isbat Hafazan dalam memartabatkan ilmu al-Quran,” katanya.

MB Perasmian Pembukaan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Selangor 02Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Muzakarah Huffaz Negeri Selangor 2014 yang diadakan di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, pada 14 Oktober lalu.

Hampir 200 huffaz seluruh Selangor menghadiri majlis itu dan muzakarah kali ketiga penganjurannya itu diadakan bertujuan memberi pendedahan kepada peserta berkenaan kepentingan ilmu tajwid serta taranum dalam pembacaan al-Quran juga mempertingkatkan mutu hafazan di kalangan peserta khususnya Isbat Hafazan Negeri Selangor.

Isbat Hafazan dilaksanakan sejak 2007 dan melaluinya huffaz diberikan elaun supaya terus konsisten dalam penghafalan serta mendalami juga memahami ilmu al-Quran.

Sehingga kini, hampir 450 orang huffaz menerima elaun dalam tiga kategori iaitu hafal 1-10 juzuk, 1-20 juzuk dan 1-30 juzuk yang masing-masing menerima RM200, RM300 dan RM500 sebulan.

MB Perasmian Pembukaan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Selangor 03Mengulas lanjut, Mohd Basori berkata, JAIS akan menambahbaik sistem temuduga Isbat hafazan supaya kualiti hafazan huffaz yang mendapat elaun akan bertambah baik selain memberi semangat kepada mereka untuk meningkat dan mengekalkan hafazan.

“Kita juga mengalu-alukan kepada huffaz yang berkebolehan supaya menyertai Isbat Hafazan untuk menjadikan kuantiti huffaz yang menyertai program ini akan bertambah dan secara tidak langsung akan memeriahkan lagi aktiviti hafazan di Selangor,” katanya.

Mereka yang berminat boleh berhubung terus ke Bahagian Dakwah JAIS di talian 03-55143590.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.