Categories
SELANGOR

Inisiatif kawasan hijau, MDKL tanam 502 pokok di Pantai Batu Laut

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 15 OKT: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) menanam 507 anak pokok di Pantai Batu Laut sebagai inisiatif mewujudkan persekitaran hijau di kawasan terbabit.

Program terbabit dilaksanakan melalui Program Pantai Angkat Tahun 2014 sebagai usaha mewujudkan kawasan perairan dan pesisir pantai yang dapat menarik kedatangan pelancong, sekali gus meningkatkan taraf hidup penduduk setempat selain menanam sikap ”sense of belonging” atau ”ownership” di kalangan penduduk setempat.

Yang Dipertua MDKL, Mohd Azhar Mohamed Ali berkata, semua pihak dapat memainkan peranan dalam memelihara dan meningkatkan lagi mutu alam sekitar melalui aktiviti itu.

DSC_0300(1)Katanya, ia juga dapat berfungsi dalam mengawal suhu bumi serta permasalahan fenomena alam seperti banjir kilat dan hakisan yang kian meruncing akibat sikap individu yang tidak bertanggungjawab dengan pertumbuhan hijau terbabit.

“Melalui program seperti ini, kita mensasarkan pembabitan pelajar sekolah dan penduduk setempat supaya mereka dapat turut sama memainkan peranan dalam soal pemeliharaan serta pemuliharaan pantai.

“Bagi memastikan sesuatu kejayaan sesebuah program, ia bukan sahaja bergantung kepada penyelaras tetapi memerlukan kerjasama jitu daripada masyarakat setempat demi memastikan kelangsungan program yang dijalankan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis perasmian Program Tanam Pokok Pantai Angkat yang turut dihadiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Sepat, Mohd Haslin Hassan, baru-baru ini.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.