Categories
SELANGOR

Karnival Bola Sepak PNSB gilap potensi bakat muda

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 25 OKT: Karnival Bola Sepak Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) 2014 berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 1000 orang termasuk penyertaan 92 pasukan bertanding dari dalam dan luar Selangor.

Penganjuran dengan kerjasama Kelab Bola Sepak PNSB sejajar dengan ulangtahun ke-10 penubuhan kelab itu yang banyak memberi sumbangan kepada pembangunan sukan bola sepak dan sosial negeri.

IMG_4300Karnival yang berlangsung di Stadium Mini Shah Alam, di sini, dirasmikan Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Datuk Emran Kadir dengan menendang bola ke arah pintu gol sebagai gimik perasmian karnival.

Emran dalam ucapannya berkata, Kerajaan Selangor sentiasa prihatin dan akan terus menyokong semua penganjuran aktiviti sukan demi pembangunan negeri.

“Saya percaya program sukan yang diadakan seperti Karnival Sukan PNSB 2014 ini mampu memupuk nilai murni serta meningkatkan mutu kesejahteraan masyarakat yang mempunyai jati diri yang tinggi, di samping melahirkan pemain bola sepak bermutu tinggi pada masa hadapan,” katanya.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif PNSB merangkap Penaung Kelab Bola Sepak PNSB, Datuk Ahmad Omar dan Pengarah Eksekutif Majlis Sukan Selangor, Shamsul Shahrizal Badliza Mohd Noor.

IMG_4285Dengan penyertaan 92 pasukan itu, mereka dibahagikan kepada empat ketegori iaitu bawah 12 tahun dan bawah 8 tahun yang berlangsung hari ini, sementara kategori bawah 16 tahun dan bawah 10 tahun berlangsung pada 26 Oktober ini.

Kewujudan Program Akademi Bola Sepak PNSB yang ditubuhkan Kelab Bola Sepak PNSB bertujuan mencungkil dan menggilap bakat baru bola sepak membabitkan kanak-kanak berusia enam hingga 16 tahun.

Dengan kemudahan kompleks sukan yang diselia PNSB di Stadium Mini Shah Alam akan memudahkan lagi pelatih mengikuti sesi latihan yang direncanakan setiap minggu.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.