Categories
SELANGOR

MB: Jeti Bagan Sekinchan diwarta tanah rizab awam & pajakan

Oleh: AFIX REDZUAN

SEKINCHAN, 24 OKT: Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan untuk mewartakan tanah di Jeti Bagan Sekinchan sebagai tanah rizab awam serta pajakan bagi membolehkan pemilik jeti meneruskan kegiatan perikanan mereka.

Hal ini kerana terdapat beberapa jeti dibina di kawasan itu tidak mempunyai kebenaran memandangkan kawasan rizab itu dimiliki di bawah tanggungjawab Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).

turun sekinchanKebanyakan jeti dibina secara individu dan sebelum ini LUAS telah mengemukakan notis perobohan.

Dalam lawatan Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali ke sini mendapati kawasan itu perlu disusun semula memandangkan keadaan semasa jeti yang tidak teratur selain berdekatan dengan Pantai Redang.

“Semua aktiviti air dipertanggungjawabkan kepada LUAS yang telah memberikan maklum balas kepada saya dengan tanah ini mengikut Akta Kanun Tanah Negara dengan kita ingin mencadangkan diwartakan sebagai rizab awam.

“Kemudian di bawah Kanun Tanah Negara, Kerajaan Negeri akan keluar pajakan kepada persatuan nelayan kawasan ini untuk menguruskan jeti.

“Kalau ini dipersetujui akan bawa ke mesyuarat exco untuk kelulusan dan wartakan serta diberi pajakan kepada persatuan.

“Kalau permohonan TOL ia kena perbaharui setiap tahun. Untuk pajakan pengusaha dapat memajak untuk tempoh lama dan ia lebih menjamin dari segi pulangan dan pendapatan nelayan,” katanya.

Secara keseluruhan, Selangor mempunyai 1,350 jeti nelayan dan 56 jeti berada di kawasan Sekinchan.

Mohamed Azmin memberikan jaminan untuk menyediakan penempatan semula pusat pengumpulan ikan di sebidang tanah rizab yang telah dikenalpasti.

Katanya Pejabat Tanah akan kemukakan laporan untuk dipertimbangkan oleh Kerajaan Negeri termasuk menyelesaikan masalah kunci air di kawasan setempat.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.