Categories
SELANGOR

Operasi Denggi Ops Mega MBPJ berjaya turunkan 44% kes denggi

Oleh: LIZAWATI MADFA

PETALING JAYA, 30 OKT: Statistik kes denggi di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berjaya mencatatkan penurunan sehingga 44 peratus hasil Operasi Denggi Ops Mega.

Datuk Bandar, Datin Paduka Alinah Ahmad berkata, 1,144 kes dilaporkan, pada bulan Julai lalu iaitu menurun kepada 750 kes dan 420 kes dilaporkan, pada Ogos lalu.

Katanya, lokaliti hotspot juga menurun daripada 30 lokaliti pada bulan Julai kepada 10 lokaliti sahaja pada September lalu.

Gempur Aedes 01“Walaupun statistik memberansangkan dan terendah dicatatkan untuk tahun ini serta Ops Mega tamat, MBPJ akan teruskan usaha supaya wabak denggi dapat dikawal.

“Jabatan Kesihatan Persekitaran akan terus melipatgandakan pemeriksaan tapak dan premis serta bertindak pantas dengan mengambil kira kemungkinan terjadi kes di tempat berpotensi pembiakan Aedes,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu mempengerusikan Mesyuarat Penuh bersama ahli majlis dan ketua jabatan di ibu pejabat MBPJ, di sini, hari ini.

Ops Mega mula dilaksanakan pada 24 Julai dan tamat 23 September lalu di empat buah negeri termasuk Selangor, Kelantan, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan.

datin-alinahBagi kawasan MBPJ, 54 hotspot diperiksa antaranya lokasi pelupusan sampah, pusat penyimpanan barang lusuh, tapak binaan, tapak binaan yang ditutup, kawasan perniagaan dan sekolah.

Alinah turut berharap orang ramai dapat memberikan kerjasama dan menjaga kebersihan bagi memastikan wabak denggi mampu diperangi.

“Pada masa sama, kita juga akan teruskan kempen kesihatan, hapuskan tempat pembiakan di kawasan hotspot, gotong-royong serta aktiviti ‘larvaciding’.

“MBPJ akan memperhebatkan pelbagai kaedah kawalan dan pencegahan pada peringkat akar umbi,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.