Categories
SELANGOR

Penghuni Apartmen Teratai dijangka dibenar pulang Ahad atau Isnin

SHAH ALAM, 25 OKT: Penghuni Apartmen Teratai, Taman Bunga Raya di Bukit Beruntung yang terjejas dalam insiden tanah runtuh dijangka dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing pada Ahad atau Isnin ini.

Pegawai Daerah Hulu Selangor Ahmad Suaidi Abdul Rahim berkata kebenaran itu akan diberi sekiranya pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) mengesahkan tiada pergerakan tanah baru di kawasan itu.

unnamed2“Kerja pemasangan cerucuk penghadang besi oleh JKR dijangka selesai dan pemantauan teliti akan terus dijalankan selama 24 jam bagi memastikan tiada lagi pergerakan tanah baru berlaku,” katanya dipetik Bernama.

Memberi data terbaharu berkaitan penduduk terbabit, beliau berkata sejumlah 289 keluarga merangkumi 1,163 individu yang mendiami blok K dan L ditempatkan di pusat pemindahan sementara susulan insiden tanah runtuh Isnin lepas.

Ahmad Suaidi berkata JKR memasang kanvas di lokasi runtuhan untuk menghalang air masuk.

Beliau berkata pihak JKR akan membuang tanah yang runtuh untuk melandaikan cerun dan mengurangkan bebanan di lokasi runtuhan.

“Daripada pemantauan awal, struktur blok K dan L di Apartmen Teratai masih selamat didiami,” katanya.

Ahmad Suaidi berkata satu jawatankuasa khas dijangka dibentuk dalam masa terdekat merangkumi JKR, Majlis Daerah Hulu Selangor, Jabatan Pengairan dan Saliran, Tenaga Nasional Berhad serta agensi lain bagi mencari penyelesaian kekal berhubung masalah tanah runtuh di kawasan itu.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.