Categories
SELANGOR

Respon positif pengguna, MBPJ pendek tempoh percubaan jalan sehala

Oleh: LIZAWATI MADFA

PETALING JAYA, 30 OKT: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) akan memendekkan tempoh percubaan sistem jalan sehala di pusat bandar itu jika maklum balas positif terus diterima daripada penduduk setempat dan pengguna jalan raya.

Datuk Bandar, Datin Paduka Alinah Ahmad berkata, tinjauan MBPJ bersama perunding mendapati aliran trafik semakin lancar khususnya di waktu puncak.

Katanya, segala aduan yang diterima juga berjaya ditangani dengan baik pihaknya yang pantas mengambil tindakan penambahbaikan.

mbpj“Kalau baik, daripada tempoh percubaan tiga bulan, maka kita akan pendekkan kepada dua bulan.

“Kalau sudah bagus, kita akan laksanakan terus sistem ini dan tidak perlu tunggu lagi,” katanya dalam mesyuarat penuh MBPJ di ibu pejabatnya, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau menyaksikan dua ahli majlis baru daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengangkat sumpah iaitu Ahmad Akhir Pawan Chik dan Shatiri Mansor.

Sistem jalan sehala mula dikuatkuasakan pada 12 Oktober lalu membabitkan Jalan Sultan, Jalan Barat, Jalan Utara, Jalan Timur dan Jalan Yong Shook Lin.

_MG_3864Alinah berkata, pelaksanaan jalan sehala dibuat berdasarkan kajian trafik yang mula dijalankan seawal tahun 2001 diikuti kajian semula dan dilengkapkan pada tahun 2012 oleh Jabatan Kejuruteraan.

“Kos yang digunakan adalah daripada tabung caruman pembangunan yang dikenakan kepada pemaju berjumlah RM23 juta.

“Caruman ini khusus dikenakan kepada pemaju untuk membantu pihak majlis menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di Petaling Jaya,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.