Categories
SELANGOR

Sungai Bakau dinaiktaraf elak banjir kilat berulang

Oleh : AFEEQA AFEERA

RAWANG, 4 OKT : Kerja-kerja menaiktaraf Sungai Bakau, dekat sini akan dilakukan dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi bagi memastikan aliran air dapat berjalan lancar sekaligus mengelakkan kejadian banjir kilat daripada berulang di kawasan itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rawang, Gan Pei Nei, berkata pihak Majlis Perbandaran Selayang (MPS) bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sudah sedia maklum mengenai perkara itu dan akan memulakan proses tender dalam masa terdekat.

Gan pei nieKatanya kedua-dua agensi kerajaan terbabit juga sudah diarahkan untuk membersihkan sungai terbabit secara berkala supaya rakyat tidak lagi berdepan isu banjir kilat.

“Ada pelan lebih besar dengan anggaran kos bernilai RM10 juta untuk bina kolam takungan dan menaiktaraf Sungai Gong termasuk sungai yang selari dengannya.

“Tetapi memandangkan Sungai Bakau lebih terdesak jadi kita minta sementara tunggu bajet itu turun, kita jalankan Sungai Bakau dulu.

“Jadi kita jangka dua atau tiga minggu lagi pihak MPS akan panggil sebut harga dan mulakan kerja,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan turun padang bagi kerja-kerja penyelenggaraan jalan raya di Bandar Country Homes, semalam.

Rabu lalu, lebih 12 unit rumah di Kampung Sungai Bakau terjejas akibat banjir kilat yang melanda kawasan itu.

Kejadian sama pernah berulang pada Disember tahun lalu di mana seramai 100 penghuni di kawasan terlibat terjejas selain empat buah kereta turut ditenggelami air.

Kejadian itu turut mengakibatkan ribuan pengguna jalan raya yang melalui Jalan Batu Arang berhampiran Pusat Beli-belah Aeon Rawang terkandas untuk ke tempat kerja kira-kira pukul 7 pagi.

Mengulas mengenai kejadian banjir kilat di situ, Pei Nei berkata ia berpunca daripada pembangunan pesat di Rawang dan pihaknya bersetuju supaya kolam takungan sedia ada didalamkan untuk memastikan lebih banyak air daat ditakung sebelum mengalir ke Sungai Bakau.

“Kita jejak dari hulu ke hilir dan kita memang setuju ia berpunca daripada pembangunan dan syaratkan mesti ada kolam takungan.

“Saya minta JPS untuk dalamkan kolam lagi supaya lebih banyak air dapat bertakung sebelum mengalir ke Sungai Bakau,” katanya lagi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.