Categories
SELANGOR

Tanah runtuh Kuala Kubu Bharu, 500 mangsa dipindah pusat pemindahan

Oleh: NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 21 OKT: Lebih 500 mangsa dan 120 keluarga dipindahkan ke tiga buah pusat pemindahan di Bukit Beruntung ekoran tanah runtuh di pangsapuri Teratai, Taman Bunga Raya setakat jam 4 pagi tadi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kubu Bharu, Lee Kee Hiong berkata, kekerapan hujan lebat sejak kebelakangan ini menyebabkan penduduk di kawasan terbabit terpaksa dipindahkan apabila satu kejadian tanah mendap dilaporkan berlaku, sejak petang semalam.

photo 2Katanya, tiga pusat pemindahan itu adalah Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya 1 dan 2 serta Sekolah Menengah kebangsaan Taman Bunga Raya.

“Pihak bomba melaporkan lebih 500 keluarga dipindahkan ke tiga pusat pemindahan itu, setakat jam 4 pagi tadi.

“Bagaimanapun, jumlah itu dijangka meningkat ekoran hujan masih turun,” katanya kepada Selangor Kini.

Difahamkan, Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali akan melawat kawasan kejadian, pada jam 1 petang ini.

Kejadian yang dipercayai berpunca daripada kegagalan struktur tanah akibat pergerakan air itu dikhuatiri menjejaskan Blok K dan L pangsapuri berkenaan.

photo 1Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMB) pangsapuri berkenaan, Suhaili Abdul berkata, Jabatan Kerja Raya (JKR)sedang membuat kerja mengorek tanah bagi memeriksa tahap keseriusan dan mengambil langkah selanjutnya.

“Kejadian disedari semalam ketika hujan lebat. Penduduk mengesan berlakunya situasi geseran tanah berdekatan Blok L pangsapuri ini. Buat masa ini, beberapa pihak seperti bomba dan JKR serta polis sudah berada di tempat kejadian untuk tujuan kawalan dan keselamatan,” katanya.

Suhaili berkata, kejadian itu bukan yang pertama kali berlaku kerana empat tahun lalu masalah sama pernah terjadi dan kini ramai pihak khuatir kerana ia berulang.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.