Categories
SELANGOR

UNISEL IPTS Selangor pertama tubuh Kelab Pencegahan Jenayah

Oleh: NAEEM RAFFI

SHAH ALAM, 21 OKT: Polis Selangor memuji Usaha Universiti Selangor (UNISEL) mewujudkan Kelab Pencegahan Jenayah, sekali gus mencatatkan sejarah sebagai institut pengajian tinggi swasta (IPTS) pertama di negeri itu mempunyai kelab berkenaan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Abdul Samah Mat berkata, penubuhan kelab terbabit bukan sahaja memberi banyak manfaat kepada UNISEL, bahkan masyarakat setempat.

unisel2Katanya, penubuhan kelab itu mampu mewujudkan kesedaran di kalangan pelajar berhubung kejadian jenayah yang semakin berleluasa.

“Ia juga dapat mendidik pelajar untuk memainkan peranan di dalam universiti serta dunia luar. Kelab ini dapat beri kesedaran serta kefahaman kepada pelajar supaya mereka lebih prihatin dalam konteks keselamatan dalam universiti.

“Program yang akan diadakan bukan sahaja membabitkan pelajar sebaliknya komuniti setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas merasmikan Program Mencegah Jenayah Bersama UNISEL dan Penubuhan Kelab Pencegahan Jenayah UNISEL 2014 di Kampus Bestari Jaya, baru-baru ini.

unisel1UNISEL adalah IPTS pertama di Selangor yang berjaya menubuhkan kelab itu yang lahir daripada inisiatif Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF).

Mengulas lanjut, Abdul Samah mengingatkan pelajar supaya meneruskan usaha murni itu pada masa akan datang walaupun sudah tamat pengajian bagi membantu komuniti.

Beliau turut memaklumkan akan mengarahkan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor untuk melaksanakan tindakan susulan bagi membantu kelab berkenaan bersama Malaysia Crime Prevention Foundation (MCPF).

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.