Categories
SELANGOR

Baiki segera Masjid Negeri, pelihara imej pelancongan

OLeh: HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 12 NOV: Masyarakat Islam di bandaraya ini berharap proses baik pulih Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah disegerakan demi memeliharakan imejnya selaku masjid utama di Selangor.

Kelewatan berbuat demikian akan memberi tanggapan buruk amnya kepada pentadbiran masjid dan khasnya Kerajaan Negeri.

Masjid Shah AlamHal itu kerana, masjid terbabit yang juga dikenali Masjid Negeri sering menjadi tumpuan pelancong tempatan dan luar negara yang kagum dengan keunikan seni bina masjid kedua terbesar di Asia Tenggara itu berasaskan kombinasi seni bina tradisional Islam, Asia Barat, India, Barat dan Melayu asli.

Ahli perniagaan dari Kajang, Faisal Farid, 26, berkata sewajarnya kerosakan di masjid itu dibaiki segera untuk memberi keselesaan kepada orang ramai khususnya umat Islam yang datang beramal ibadah.

“Masjid ini juga menjadi tumpuan pelancong. Kita nampak ada pelancong luar seperti dari Korea, Jepun dan negara lain yang datang.

“Bila dibaiki, ia bukan setakat untuk kemudahan tetapi memberikan imej yang baik dan menjadi contoh kepada masjid lain di Selangor,” katanya.

IMG_20141112_111556Suri rumah dari Sungai Besar, Nor Hidayu Bokhri, 32, juga menggesa pentadbiran masjid memberi perhatian berkenaan masalah kerosakan itu kerana secara umumnya masjid terbabit dalam keadaan baik dan terurus.

“Keadaan bagus dan bersih, cuma masalah kerosakan di beberapa bahagian seperti lif, air pancut dan beberapa bahagian lain sedikit sebanyak menjejaskan kedudukan masjid ini,” katanya.

Pekerja swasta, Eddy Hilman Maulud, 40, berkata jika peruntukan sudah tersedia, maka kerosakan masjid harus dibaiki segera.

“Kalau lambat, banyak pihak dan orang ramai akan memandang negatif perkara ini,” katanya.

Sementara itu, Penolong Jurutera Masjid Negeri yang enggan dikenali berkata pihaknya akan membuat kenyataan berhubung masalah itu dalam masa terdekat.

 

bumbung1Baru-baru ini, laporan Ketua Audit Negara mendedahkan tujuh bentuk kerosakan yang dialami Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah dan sehingga kini masih belum dibaiki.

Hasil temu bual audit dengan wakil kontraktor yang berpengalaman selama lapan tahun sebagai penyelia penyelenggaraan Masjid Negeri memaklumkan, kerosakan bahagian utama seperti bumbung, kubah (termasuk piramid dan ayat kaligrafi pada kubah) dan lif pelancong mula dikesan sejak dia mula bertugas di situ.

Komponen lain yang turut mengalami kerosakan adalah lif servis, sistem kawalan teknikal, lima pancuran, menara jam dan pam bawah tanah.

Terdapat beberapa komponen yang ditemui juga sudah tidak berfungsi lebih daripada lapan tahun, sekali gus menyaksikan audit mengklasifikasikan pelaksanaan penyelenggaraan Masjid Negeri kurang memuaskan.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.