Categories
SELANGOR

Banjir: MPS bersih sampah, pasir longkang Selayang Baru

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 19 NOV: Masalah banjir yang dialami beberapa kampung di Selayang Baru kebelakangan ini dijangka dapat diatasi selepas kerja pembersihan longkang besar dijalankan.

Exco Insfrastruktur, Kemudahan Awam dan Industri Asas Tani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, Zaidy Abdul Talib berkata, kerja pembersihan itu akan dijalankan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dalam jangka masa terdekat.

“Dalam lawatan kami, didapati air tidak dapat mengalir dengan lancar disebabkan sampah dan juga pasir yang tak dibersihkan.

“MPS akan mulakan kerja pembersihan secepat mungkin dan pejabat ADUN akan memantau supaya kerja ini berjalan lancar,” kata Zaidy ketika dihubungi Selangor Kini, di sini, hari ini.

zaidyZaidy berkata, sikap menjadikan saliran seperti longkang dan sungai sebagai tempat membuang sampah bukan sahaja mencemarkan alam sekitar, bahkan turut menjadi salah satu punca kejadian banjir.

Pada 17 November lalu, Zaidy bersama Ahli Majlis Zon 3, Mohd Fauzan Madzlan; Pengurus Pusat Khidmat Masyarakat DUN Taman Templer, Norjan Ismail dan Pegawai Jabatan Kejuruteraan MPS meninjau longkang sekitar Selayang Baru yang sering tersumbat hingga mengakibatkan banjir.

Lawatan itu turut disertai Ketua Kampung Selayang Indah dan Ketua Kampung Selayang Baru.

Terdahulu, kira-kira 200 buah rumah sekitar Kampung Selayang Baru terjejas apabila dilanda banjir kilat berikutan hujan lebat, baru-baru ini.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.