Categories
NASIONAL

Pak Samad: Jangan taksub, bagaimana Melayu boleh terancam?

SHAH ALAM, 16 NOV: Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said menasihatkan masyarakat Melayu tidak taksub dengan dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan bahawa mereka kini semakin terancam.

Katanya, masyarakat perlu memahami bahawa Malaysia diperintah seorang pemimpin Melayu yang turut mewakili parti yang dikatakan memperjuangkan bangsa itu.

Beliau yang lebih mesra dengan panggilan Pak Samad turut hairan kerana masih timbul dakwaan kedudukan orang Melayu kini terancam.

A.SAMADSAID_141113_TMIAFIF_002_360_240_100“Saya harap masyarakat Melayu jangan terlalu taksub dengan hebahan bahawa mereka sedang terancam. Macam mana orang Melayu terancam?

“Macam mana Melayu terancam apabila orang yang berkuasa di atas adalah orang Melayu selama lima dekad. Apa yang dia buat duduk atas selama lima dekad itu?

“Kalau kedudukannya itu tidak mampu membuat orang Melayu berfikir secara waras, keluar (turun) sahaja.

“Biar orang Melayu lain yang tadbir. Dia tadbir lima dekad bukan satu dekad,” katanya yang dipetik Malaysia Kini.

Kebimbangan seperti itu antara lainnya dibangkitkan anggota majlis tertinggi Umno, Tan Sri Ibrahim Abu Shah yang percaya orang Melayu tidak akan dapat menguasai pentadbiran jika Umno dan BN tewas dalam pilihan raya umum akan datang.

Perkara sama turut dibangkitkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang dilaporkan mendakwa orang Melayu kini berasa tidak dialu-alukan di sebuah negeri yang dipimpin sebuah parti pembangkang.

Walaupun tidak menyatakan parti khusus, Ahmad Shabery dipercayai membayangkan negeri Pulau Pinang yang diterajui DAP.

Leave a Reply

Your email address will not be published.