Categories
SELANGOR

Peneroka tanah kerajaan dibela, pembeli sah Flat Jelatek diabaikan?

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 23 NOV: Pemilik unit Flat Jalan Jelatek kecewa apabila mereka tidak diberi pembelaan sewajarnya daripada pihak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dalam isu pembangunan Datum Jelatek.

Hal itu bertentangan dengan situasi penduduk yang mendiami tanah kerajaan secara tidak sah tetapi diberikan penempatan semula di kawasan berhampiran tanah yang mereka terokai sebelumnya.

Wakil penduduk terbabit, Fadhilah Saharain berkata, pemilik Flat Jalan Jelatek PKNS yang membeli unit kediaman masing-masing secara sah dengan titik peluh sendiri pula bakal diusir dengan menggunakan Akta Pengambilan Tanah.

“Kalau Kampung Berembang, ada banyak pihak bangkit membantu hingga peneroka diberikan satu hingga dua unit yang dibangunkan pemaju tetapi kami yang membeli rumah dengan hasil titik peluh mahu dihalau?

“Ketika pihak terbabit bangunkan flat ini, mereka merayu kami beli tapi bila dah tak diperlukan, mereka mahu kami keluar sedangkan ada antara kami yang belum habis bayar pinjaman bank,” katanya yang membeli unit kediaman pangsapuri terbabit, sejak 1980.

Fadhilah berkata demikian di hadapan kira-kira 100 penduduk di Majlis Penerangan isu Datum Jelatek.

Tegas beliau, tindakan sesetetengah pihak yang lantang membangkitkan isu Kampung Berembang dan beberapa kampung setinggan lain hipokrit apabila hanya mendiamkan diri dalam isu membabitkan penempatan orang Melayu di kawasan berkenaan.

Fadhilah berkata, beliau membeli rumah yang dimilikinya sekarang dengan harga potongan RM19,000 berbanding harga asal RM25,000 disebabkan beliau penduduk asal kawasan terbabit.

Fadhilah juga menganggap, tindakan pihak terbabit yang mahu menempatkan semula penduduk asal itu ke kawasan luar Keramat sebagai tindakan tidak adil memandangkan mereka adalah penduduk asal Keramat.

Selain Fadhilah, terdapat 15 penduduk asal Keramat yang masih mendiami pangsapuri itu.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.