Categories
SELANGOR

PSRA 99%: Tidak putus asa & rajin rahsia kejayaan Alif & Qistina

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 11 NOV : Sikap tidak pernah berputus asa yang diamalkan Muhammad Alif Iskandar Abdul Rahim dalam menuntut ilmu menjadikan beliau cekal untuk menggenggam sebuah kejayaan demi masa depan yang cemerlang.

Pelajar Sekolah Rendah Agama (SRA) Sijangkang Kuala Langat ini mengatakan sifat positif yang ditanam dalam dirinya menjadikan beliau berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA).

Penyampaian Keputusan PSRA di Masjid Negeri Yunus Hairi (11)Dengan memperoleh keputusan 99 peratus, Alif dinobatkan sebagai salah seorang Murid Cemerlang PSRA 2014 Peringkat Negeri Selangor di Masjid Negeri, hari ini.

“Kita kena banyak membuat ulang kaji, tidak boleh berputus asa, kena banyak berdoa dan hormati ibu bapa.

“Biasanya saya luangkan masa selama dua jam sehari untuk mengulangkaji pelajaran,” katanya kepada Selangor Kini.

Kejayaan yang diperoleh anak kedua daripada tiga adik beradik itu sememangnya tidak disangka namun beliau bersyukur usahanya membuahkan hasil.

“Sangat gembira dan terkejut sebab tidak pernah dapat keputusan begini, saya bersyukur sangat,” katanya lagi.

Seorang lagi pelajar, Qistina Soffiyya Taqiyuddin Amini pula berkata beliau banyak mengulang kaji pelajaran di rumah setiap kali pulang dari sekolah.

Beliau yang tidak bergantung kepada bantuan luar seperti tuisyen lebih gemar menghabiskan masa di rumah sambil dipantau oleh kedua ibu bapanya.

“Saya lebih suka belajar sendiri dan hanya menghadiri tuisyen di sekolah serta menghafal nota-nota penting, kata murid Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) Seksyen 19 Shah Alam.

Atas kejayaan cemerlangnya memperoleh keputusan 99.6 peratus, beliau turut dinobatkan sebagai Murid Cemerlang PSRA 2014.

Seramai 37,169 calon SRA menduduki peperiksaan tahun ini dengan melibatkan 686 buah sekolah.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.