Categories
SELANGOR

SSIC berwajah baru, berjaya pacu pelaburan Selangor

Oleh: NAEEM RAFFI

SEPANG, 19 NOV: Pusat Pelaburan Selangor (SSIC) selaku agensi pemudah cara dalam urusan berkaitan pelaburan negeri bakal dijenamakan dalam usaha memacu pelaburan.

Exco Pelaburan, Datuk Teng Chang Kim berkata, prestasi pelaburan Selangor bermula tahun 2000 hingga 2014 terus cemerlang dengan mencatatkan nilai pelaburan tertinggi RM117.75 bilion daripada 4,173 projek perkilangan iaitu 19 peratus daripada semua pelaburan yang diluluskan seluruh negara.

Katanya, RM60.45 bilion adalah daripada pelaburan tempatan dan RM57.30 bilion membabitkan pelaburan asing sepanjang tempoh 14 tahun itu, manakala 328,168 potensi peluang pekerjaan diwujudkan.

Lawatan Bersama SSIC (13) (1)“Selepas ini, SSIC diberi imej baru dan usaha itu masih diperingkat perancangan, apabila mendapat kelulusan ia akan diumumkan Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali dalam masa terdekat.

“Kita sedar, cabaran hari ini lebih besar untuk terus meningkatkan prestasi pelaburan. Sebab itu, kita mulakan dengan memberi wajah baru kepada SSIC,” katanya.

SSIC Berhad adalah salah sebuah anak syarikat Kerajaan Negeri yang beroperasi sejak 1999 dan berperanan mempromosikan Selangor sebagai destinasi pelaburan terbaik di Malaysia dan rantau Asia.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis makan malam bersama media sempena program ‘Media Selangor Discovery’ anjuran Selangor State Invesment Centre (SSIC) di Avani Sepang Goldcoast, di sini, semalam.

Lawatan Bersama SSIC (17)Hadir sama, Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Azlan Md Alifiah; Ketua Pegawai Eksekutif SSIC Berhad, Hasan Azhari Idris dan Timbalan Presiden Eksekutif Sepang Goldcoast Sdn Bhd, MC Wong.

Media Selangor Discovery adalah program khas SSIC bersama wakil media melawat kawasan perindutrian di Selangor.

Melalui program sehari itu, media dibawa meninjau perkembangan terkini kawasan perindustrian di Selangor Halal Hub dan Port Klang Free Zone di Pulau Indah, selain Selangor Science Park 2 dan Cyberjaya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.